Wartawan Gaza maut pada hari kelahiran anak perempuannya

GAZA – Ulang tahun pertama Sana diselubungi duka apabila hari kelahirannya turut menjadi hari ayahnya, wartawan Yahya Sobeih, terbunuh dalam serangan Israel.

Tarikh 7 Mei 2025 merupakan hari kelahiran cahaya mata Amal Sobeih. Ia juga hari paling gelap dalam hidupnya apabila suaminya dilaporkan terkorban hanya beberapa jam selepas menyambut kelahiran anak mereka.

Yahya sempat menyaksikan kelahiran Sana ke dunia. Sekitar jam 6 pagi, beliau membawa Amal ke hospital ketika isterinya menahan kesakitan akibat kontraksi.

Ketika itu, perang berterusan Israel di Gaza masih memuncak, dengan serangan ketenteraan dilaporkan tidak pernah berhenti di seluruh wilayah itu.

Namun, pasangan tersebut tetap sarat dengan kegembiraan menyambut kelahiran anak ketiga mereka — anak perempuan pertama selepas dua putera mereka, Baraa dan Kenan, yang ketika itu masing-masing berusia empat dan tiga tahun.

Amal memaklumkan, doktor memutuskan beliau perlu menjalani pembedahan caesarean kecemasan sejurus tiba di hospital, tetapi proses kelahiran berjalan lancar.

“Pada permulaannya, ia hari yang sempurna… kelahiran berlaku dengan cepat, bayi sihat dan semua orang gembira,” kata Amal.

“Yahya sangat teruja. Dia mendukung anak perempuannya dan berkali-kali berkata, ‘Puteri cantik saya sudah tiba.’”

Yahya kemudian meluangkan beberapa jam bersama isteri dan bayi mereka. 

Beliau memastikan keadaan mereka baik, mengalunkan azan di telinga bayinya, mengambil gambar serta menyambut kehadiran ahli keluarga yang datang mengucapkan tahniah.

Sebelum keluar dari hospital, Yahya memberitahu Amal bahawa beliau akan pergi seketika dan kembali semula.

“Dia minta saya berehat dan menjaga diri. Katanya dia mahu pulang menjenguk dua anak lelaki kami dan membawa keperluan bayi, kemudian kembali supaya kami boleh memilih nama bersama,” ujar Amal. 

“Malangnya, saya tidak tahu itu adalah kali terakhir kami melihat Yahya.”

Sebagai seorang wartawan, Yahya hanya sempat hidup selama lima jam selepas kelahiran anak perempuannya, dan sempat berkongsi gambar Sana di media sosial sambil mendukungnya dengan penuh bangga.

Namun, pada hari yang sama, Yahya terbunuh dalam satu serangan udara Israel yang menyasarkan kawasan komersial di tengah Gaza City. 

Serangan itu mengorbankan sekurang-kurangnya 17 orang dan mencederakan puluhan yang lain.

Berita mengejutkan

Ahli keluarga yang berkumpul di hospital berdepan dilema untuk menyampaikan berita kematian tersebut kepada Amal yang baru melahirkan anak.

Mereka bimbang tentang keadaan fizikal dan emosi Amal yang masih lemah selepas pembedahan.

Namun, Amal merasakan ada sesuatu yang tidak kena.

“Terlalu banyak panggilan telefon, wajah-wajah yang tegang, perbualan yang terhenti apabila saya mendekat. Malah kakitangan perubatan juga kerap memeriksa keadaan saya, dan ibu saya berbisik sepanjang masa,” katanya.

“Saya asyik bertanya, ‘Ada apa-apa yang berlaku? Kenapa begini?’ Tetapi tiada siapa menjawab dengan jelas.”

Amal kemudian cuba menghubungi Yahya lebih 15 kali, namun panggilan tidak dijawab – sesuatu yang sangat luar biasa bagi suaminya.

Akhirnya, beliau mengetahui kebenaran selepas melayari internet.

“Tajuk berita muncul di depan mata saya: ‘Wartawan Yahya Sobeih terbunuh lima jam selepas menyambut kelahiran anak perempuannya,’” katanya sambil menangis. 

“Saya rasa darah seolah-olah beku. Saya menjerit tanpa kawalan kerana tidak percaya. Saya rasa seperti hilang kewarasan.”

Yahya diserang ketika sedang mengagihkan manisan kepada saudara mara dan rakan sebagai tanda meraikan kelahiran anaknya. 

Antara yang turut terbunuh ialah sepupunya, rakan karib serta abang iparnya – individu yang beberapa jam sebelumnya berada di hospital, mendukung bayi Sana dan bergambar bersama.

Amal berkata, kejutan bukan sekadar kehilangan suami, malah tidak berpeluang mengucapkan selamat tinggal. 

Masih dalam tempoh pemulihan pembedahan, beliau terpaksa berbaring di katil hospital selama berjam-jam.

“Saya hanya mahu melihatnya buat kali terakhir… menyentuhnya, mengucapkan selamat tinggal… tetapi saya tidak mampu.”

Setahun dibaluti kesedihan

Amal sebelum itu telah kehilangan abang, kakak ipar serta tiga anak saudara mereka dalam perang, selain adiknya dan empat anak adiknya – semuanya terkorban akibat serangan Israel.

Namun, Amal menyifatkan tempoh 12 bulan selepas kematian Yahya sebagai “tahun kesedihan”, memaksa dirinya bertempur dengan dua peperangan – konflik ketenteraan yang berterusan dan perjuangan membesarkan anak-anak sendirian.

Walaupun Yahya sering mengingatkannya tentang risiko pekerjaannya sebagai wartawan medan, Amal tidak pernah membayangkan kehilangan itu akan benar-benar berlaku.

“Setiap kali mendengar wartawan terbunuh, saya sangat takut,” katanya. “Tetapi saya tidak pernah terfikir saya akan kehilangan dia.”

Beberapa bulan selepas kematian Yahya, Amal bersama tiga anaknya terpaksa berpindah ke selatan Gaza selepas tentera Israel mengumumkan operasi darat di Gaza City.

Beliau menceritakan penderitaan mencari tempat perlindungan dan tinggal di khemah dalam keadaan serba kekurangan – bersama bayi berusia empat bulan dan dua anak kecil yang masih belum memahami ketiadaan ayah mereka.

“Yahya adalah sumber kekuatan, suami dan ayah yang luar biasa. Kami tidak pernah kekurangan apa-apa walaupun dalam perang,” katanya. “Kehilangannya dalam keadaan sebegini sangat menyakitkan.”

Sedikit demi sedikit, Amal menyedari beliau perlu menggalas peranan sebagai ibu dan bapa kepada anak-anaknya.

Dalam kesedihan, Amal memilih untuk meneruskan legasi suaminya dan mula bekerja dengan organisasi media yang sama.

“Saya cuba meneruskan mesej suami saya, untuk terus kuat demi diri sendiri dan anak-anak,” katanya.

Namun, yang paling menyayat hati buat Amal ialah memikirkan bagaimana suatu hari nanti beliau perlu menjelaskan kepada Sana bahawa hari kelahirannya juga merupakan hari ayahnya diragut nyawa.

“Andai Yahya masih ada, dialah orang yang paling meraikan hari jadi Sana,” katanya perlahan. 

“Sana tidak bersalah.” – Agensi

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *