CHERAS SELATAN – Rapid Bus Sdn. Bhd. melancarkan Kempen Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE) 2026 bertemakan “Arrive Safe, Work Safe, Go Home Safe” sebagai usaha memperkukuh tahap keselamatan operasi serta meningkatkan keyakinan pengguna terhadap perkhidmatan bas Rapid KL dan Rapid Penang.
Kempen tersebut memberi penekanan kepada pembudayaan amalan keselamatan dalam kalangan warga kerja melalui pendekatan Perlakuan Tanpa Kompromi (PTK), yang menuntut setiap kakitangan mematuhi prosedur operasi, mengurus risiko secara proaktif dan mengutamakan aspek keselamatan ketika menjalankan tugas.
Pelaksanaan kempen itu juga bertujuan meningkatkan kesedaran warga kerja mengenai kepentingan menjaga keselamatan diri, penumpang dan pengguna jalan raya, selain memperkukuh budaya kerja selamat dalam organisasi secara berterusan.
Pengerusi Rapid Bus, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, keselamatan bukan sekadar keutamaan operasi, malah menjadi asas utama kepada kepercayaan penumpang terhadap perkhidmatan pengangkutan awam.
Menurut beliau, usaha meningkatkan kesedaran dan pencegahan akan terus diperkasa termasuk dari aspek pemanduan berhemah, kesiapsiagaan petugas dan pengurusan risiko di lapangan bagi memastikan perjalanan yang lebih selamat kepada penumpang.
“Keselamatan perlu menjadi budaya dalam setiap aspek operasi dan ia menuntut komitmen semua pihak,” katanya ketika pelancaran kempen tersebut.
Antara inisiatif utama di bawah kempen HSE 2026 ialah pengagihan 2,500 jaket keselamatan kepada kakitangan yang menunggang motosikal ke tempat kerja.
Pengagihan itu melengkapkan sebanyak 3,000 jaket keselamatan yang telah disalurkan kepada warga kerja pada tahun 2024 sebagai langkah menjaga kebajikan serta keselamatan kakitangan.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Ku Jamil Zakaria berkata, syarikat turut melaksanakan pelbagai langkah tambahan bagi memperkukuh keselamatan operasi perkhidmatan.
Katanya, antara langkah yang diambil termasuk latihan pemanduan defensif kepada kapten bas, pelaksanaan zon keselamatan di depoh serta penyediaan kemudahan rehat khas bagi memastikan pemandu sentiasa berada dalam keadaan cergas dan fokus ketika bertugas.
Menurut beliau, inisiatif tersebut bukan sahaja meningkatkan tahap keselamatan perjalanan penumpang, malah membantu memperkukuh prestasi keselamatan Rapid Bus secara keseluruhan termasuk dalam penanda aras antarabangsa menerusi platform International Bus Benchmarking Group (IBBG).
Pada masa sama, kempen HSE 2026 turut selaras dengan agenda kerajaan untuk mempertingkatkan keselamatan jalan raya melalui kerjasama bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) bagi memastikan pematuhan serta budaya keselamatan terus diperkasa dalam sektor pengangkutan awam.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L