MELAKA – Pakatan Harapan (PH) perlu memastikan manifesto pilihan rayanya, Melaka Rumah Kita, bukan sekadar dokumen kempen, sebaliknya menjadi komitmen pentadbiran yang boleh diukur, dipantau dan dipertanggungjawabkan kepada rakyat.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, pelancaran manifesto itu membuktikan PH tampil dengan tawaran dasar yang jelas, bukannya sekadar mengemukakan slogan untuk meraih sokongan pengundi.
Beliau berkata, tiga teras dan 12 aspirasi yang digariskan memberi tumpuan kepada pelbagai keperluan rakyat, termasuk perumahan mampu milik, peluang pekerjaan berkualiti, pembangunan perniagaan, kebajikan, pengangkutan, institusi Islam serta pentadbiran bersih.
Menurutnya, setiap cadangan yang dikemukakan perlu diterjemahkan kepada pelaksanaan yang memberi manfaat secara langsung kepada penduduk Melaka.
Mujahid turut menekankan kepentingan melaksanakan cadangan memperuntukkan 30 peratus kontrak pihak berkuasa tempatan (PBT) kepada golongan muda menerusi sistem yang terbuka, berasaskan merit dan bebas daripada amalan kronisme.
Katanya, peluang berkenaan perlu diberikan secara adil supaya golongan muda bukan sekadar menjadi pemerhati dalam pembangunan ekonomi negeri, sebaliknya turut berpeluang menjadi pemain utama.
Dalam aspek pelancongan pula, beliau berkata sasaran menarik 25 juta pelawat menjelang 2032 perlu disusuli strategi yang mampu meningkatkan pendapatan peniaga kecil, mewujudkan peluang pekerjaan dan merancakkan ekonomi setempat.
Mujahid berkata, kejayaan sektor pelancongan tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah kedatangan pelawat semata-mata, sebaliknya perlu dilihat melalui kesan ekonomi yang dirasai masyarakat tempatan.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Beliau menegaskan setiap aspirasi dalam manifesto berkenaan perlu disertakan sasaran pencapaian, garis masa pelaksanaan dan laporan kemajuan yang boleh dinilai rakyat.
Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan manifesto tidak berakhir sebagai janji pilihan raya yang dilupakan selepas mandat diberikan.
“Inilah pentadbiran yang ditawarkan PH, iaitu pentadbiran yang bermaruah, boleh dipantau dan menumpukan pembangunan kepada kehidupan rakyat Melaka,” katanya dalam kenyataan media.
Mujahid yang juga Pengerusi Induk Pilihan Raya Amanah berkata, prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban perlu menjadi asas kepada pentadbiran yang mahu membina keyakinan rakyat.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
