Bahasa Melayu Jadi Wahana Diplomasi Global Melalui PABM 2026

Oleh Fatin Sajidah Fathuldin

KUALA LUMPUR – Penganjuran Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2026 oleh Kementerian Pendidikan Tinggi dilihat sebagai platform penting memperkasa budaya dan diplomasi antara negara melalui pendidikan dan kesusteraan.

Ketua Setiausaha Kementerian itu, Datuk Dr. Anesee Ibrahim berkata, kehadiran peserta dari pelbagai negara membuktikan Bahasa Melayu semakin mendapat tempat di peringkat global serta berupaya menjadi simbol kesungguhan penyatuan masyarakat dunia.

Menurut beliau, tema “Bahasa Melayu Jambatan Peradaban Global” menyingkap segala usaha memperkukuh peranan bahasa itu sebagai wahana pemikiran, pendidikan dan peradaban merentas sempadan negara.

“Program berprestij memasuki edisi ke-16 itu merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia dengan kerjasama Universiti Kuala Lumpur serta pelbagai rakan strategik.

“Bagi edisi tahun ini, sebanyak 174 penyertaan diterima dari seluruh dunia dengan 50 peserta terbaik berjaya dipilih ke peringkat seterusnya melibatkan tiga kategori utama pertandingan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2026 meraikan para peserta yang berlangsung di ibu negara malam tadi.

Antara negara yang menghantar peserta termasuk China, Uzbekistan, Rusia, Jepun, Afghanistan, Indonesia, Singapura, Brunei, Burundi, Yaman, Nigeria dan Thailand.

Majlis turut diserikan dengan sesi pengenalan diri peserta yang memberi peluang kepada hadirin mengenali latar belakang negara masing-masing selain berkongsi aspirasi serta pengalaman mempelajari Bahasa Melayu.

Dalam pada itu, Datuk Dr. Anesee Ibrahim turut mengumumkan sembilan finalis yang bakal berentap di pentas akhir Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2026 pada 8 Mei ini melibatkan wakil dari Malaysia, Indonesia, Mesir, Afghanistan, Burundi, Uzbekistan, China dan Rusia.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Kedutaan Malaysia di luar negara, Jabatan Imigresen Malaysia serta Kementerian Dalam Negeri Malaysia atas komitmen memastikan urusan kemasukan peserta antarabangsa berjalan lancar.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *