ISKANDAR PUTERI – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi tampil mematahkan spekulasi yang semakin hangat diperkatakan apabila mengesahkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor tidak akan dibubarkan dalam masa terdekat bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Pengumuman itu dimaklumkannya ketika sesi penggulungan Sidang DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail, sekali gus menamatkan teka-teki politik yang mencetuskan pelbagai andaian dalam kalangan parti politik dan pemerhati sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Menurut Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, kerajaan negeri ketika ini mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada agenda pembangunan serta kebajikan rakyat, bukannya terheret ke dalam polemik pilihan raya.
“Ada desas-desus mengatakan PRN akan diadakan dalam masa terdekat, dengan pelbagai spekulasi timbul.
“Bagi menjawab spekulasi itu, pada hari ini, 7 Mei, saya ingin mengumumkan DUN Johor tidak akan dibubarkan hari ini.
“Jangan risau mengenai PRN Johor, sebaliknya teruskan berkhidmat kepada rakyat. Tumpuan kini adalah kepada pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif,” katanya.
Kenyataan tersebut dilihat sebagai mesej jelas pentadbiran Johor di bawah Barisan Nasional (BN) mahu mengekalkan kestabilan politik negeri ketika negara masih berdepan ketidaktentuan ekonomi global dan tekanan kos sara hidup.
Dalam masa sama, pengumuman itu turut memberi bayangan kerajaan negeri tidak mahu mengambil risiko politik terlalu awal meskipun BN masih memiliki kedudukan kukuh dalam DUN Johor.
Untuk rekod, PRN Johor belum menghampiri penghujung penggal apabila mandat semasa hanya dijangka tamat pada April 2027.
Malah, tahun lalu Onn Hafiz juga pernah menegaskan kerajaan negeri mahu menggunakan sepenuhnya tempoh pentadbiran sedia ada bagi memfokuskan pembangunan ekonomi, pelaburan dan infrastruktur yang sedang dirancang di Johor.
Namun, kebelakangan ini cakap-cakap mengenai kemungkinan PRN lebih awal kembali hangat apabila beberapa parti politik mula menunjukkan tanda-tanda bersiap siaga termasuk menggerakkan jentera di beberapa kawasan strategik.
Pemerhati politik melihat spekulasi tersebut timbul susulan perkembangan politik semasa negara yang belum benar-benar stabil, selain beberapa negeri lain turut berdepan kemungkinan perubahan landskap politik.
Ada juga pihak yang percaya Johor berpotensi menjadi negeri pertama mengadakan pilihan raya lebih awal sekiranya situasi politik nasional kembali bergolak.
Bagaimanapun, dengan kenyataan terbaharu Onn Hafiz itu, sekurang-kurangnya buat masa ini kerajaan negeri dilihat mahu menjarakkan diri daripada suhu politik yang semakin panas.
Penganalisis politik berpendapat keputusan untuk tidak membubarkan DUN ketika ini merupakan langkah strategik bagi memastikan momentum pentadbiran negeri tidak terganggu.
Menurut mereka, Johor kini sedang berada dalam fasa penting pembangunan ekonomi terutama melibatkan projek Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), pembangunan infrastruktur dan kemasukan pelaburan asing yang memerlukan kestabilan politik berterusan.
“Kerajaan negeri sedar pelabur melihat faktor kestabilan politik sebelum membuat keputusan pelaburan besar. Kalau terlalu awal berpolitik, ia boleh mengganggu keyakinan pasaran,” kata seorang penganalisis politik tempatan.
Selain itu, terdapat juga pandangan BN Johor sebenarnya masih berada dalam kedudukan selesa selepas kemenangan besar pada PRN lalu, sekali gus tidak mempunyai keperluan mendesak untuk mendapatkan mandat baharu.
Pada PRN Johor sebelum ini, BN mencatat kemenangan dominan apabila memperoleh majoriti dua pertiga dengan memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN.
Pakatan Harapan (PH) pula memenangi 12 kerusi, manakala Perikatan Nasional memperoleh tiga kerusi dan MUDA memenangi satu kerusi.
Dominasi besar BN itu dilihat masih memberi kelebihan kepada kerajaan pimpinan Onn Hafiz untuk meneruskan pentadbiran tanpa tekanan politik serius di peringkat negeri.
Namun, dalam politik Malaysia yang sering berubah pantas, kenyataan tidak dibubarkan hari ini juga dilihat mempunyai makna tersirat.
Pemerhati berpendapat ia menunjukkan kemungkinan PRN awal tetap boleh berlaku pada masa hadapan sekiranya wujud keperluan politik tertentu.
Buat masa ini, mesej utama kerajaan Johor jelas, pentadbiran negeri mahu memberi fokus kepada kerja pembangunan dan perkhidmatan kepada rakyat, sambil memastikan kestabilan politik terus terpelihara.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L