Polis buru suspek bakar dua kenderaan di Klang

SHAH ALAM – Polis mengesan suspek disyaki terlibat dalam kejadian khianat dengan membakar dua kenderaan milik seorang pengimpal di sebuah kawasan perumahan di Kapar, Klang, di sini, pada Selasa. 

Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP S Vijaya Rao berkata, dalam kejadian jam 12.12 tengah malam itu, mangsa berusia 55 tahun menyedari kejadian itu selepas terdengar bunyi letupan, sebelum mendapati keretanya terbakar. 

“Api bagaimanapun berjaya dipadamkan sepenuhnya dengan bantuan jiran. Kejadian ini mengakibatkan kedua-dua kenderaan mengalami kesan terbakar sebanyak 30 peratus.

“Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati empat lelaki menunggang dua motosikal telah memecahkan cermin kenderaan dan menyimbah minyak petrol, sebelum membakar kedua-dua kenderaan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu. 

Vijaya turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, selain mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara menerusi talian 03-3291 2222 bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan. 

Sebelum itu, tular melalui media sosial rakaman CCTV berdurasi 57 saat yang memaparkan empat individu bertopi keledar dan pelitup muka bertindak mencurah petrol ke atas dua kenderaan di hadapan sebuah kediaman sebelum bertindak membakar kenderaan terbabit. – BERNAMA 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *