Wanita Tidak Selamat di Rumah Sendiri: Fadhlina Seru Tindakan Segera Tangani Keganasan Rumah Tangga

KUALA LUMPUR — Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek meluahkan kebimbangan mendalam terhadap peningkatan kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan mutakhir ini, khususnya melibatkan wanita sebagai mangsa.

Beliau menegaskan, fenomena ini mencerminkan realiti membimbangkan apabila rumah yang sepatutnya menjadi ruang paling selamat bertukar menjadi lokasi berlakunya penderaan fizikal dan emosi.

Menurut beliau, keganasan terhadap wanita bukan sahaja meninggalkan kesan fizikal, malah turut memberi impak jangka panjang terhadap kesihatan mental seperti kemurungan, keresahan dan trauma berpanjangan.

Justeru, beliau menyeru agar semua pihak, khususnya wanita, mengambil langkah segera dan tegas sekiranya berdepan situasi sedemikian.

Beliau menggariskan beberapa tindakan penting yang perlu diambil oleh mangsa keganasan rumah tangga, antaranya membuat laporan polis tanpa berlengah dan memastikan siasatan dibuka dengan segera.

“Mangsa juga digalakkan memohon Perintah Perlindungan Sementara (IPO) bagi menjamin keselamatan diri daripada terus diancam oleh pelaku.

“Selain itu, mangsa boleh mendapatkan bantuan di pusat One Stop Crisis Centre (OSCC) yang terdapat di hospital-hospital utama. Pusat ini menyediakan perkhidmatan menyeluruh meliputi rawatan kecemasan, bantuan polis serta sokongan psikososial bagi membantu mangsa menghadapi situasi krisis,” katanya menerusi akaun Facebooknya semalam.

Fadhlina turut menekankan kepentingan mendapatkan laporan perubatan lengkap di hospital kerajaan sebagai bukti penting dalam sebarang tindakan undang-undang.

Mangsa juga disaran melaporkan sebarang kecederaan lama serta tanda-tanda tekanan emosi yang dialami.

“Dalam usaha melindungi diri, mangsa digesa supaya berani keluar dari rumah yang tidak selamat dan mencari perlindungan sementara.

“Langkah ini termasuk menyediakan dokumen penting, wang, pakaian asas dan keperluan lain dalam satu beg kecemasan yang mudah dicapai sekiranya perlu meninggalkan rumah dengan segera,” ujarnya.

Kata beliau lagi, sokongan dari rakan dan ahli keluarga amat penting dalam membantu mangsa melalui proses ini.

Mereka diseru untuk tampil memberi bantuan secara menyeluruh, termasuk menemani mangsa membuat laporan, mendapatkan rawatan dan mencari perlindungan.

“Dalam keadaan krisis, emosi mangsa sering tidak stabil akan wujud rasa takut, keliru dan sedih. Oleh itu, sokongan psikososial perlu diperoleh segera tanpa berlengah,” katanya.

Beliau juga mengingatkan wanita agar tidak takut untuk meninggalkan persekitaran yang berbahaya, meskipun berdepan ugutan atau tekanan sosial kerana keselamatan diri dan anak-anak perlu menjadi keutamaan.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru para wali agar memainkan peranan aktif dalam melindungi anak perempuan mereka.

Menurutnya, lafaz taklik dalam perkahwinan yang menjanjikan layanan baik dan larangan melakukan kemudaratan tidak boleh dipandang ringan.

“Jangan biarkan anak perempuan kita pulang dalam keadaan tercedera atau lebih buruk lagi kehilangan nyawa. Sebagai wali, kita bertanggungjawab melindungi mereka dengan segala kemampuan yang ada,” tegas beliau.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *