PUTRAJAYA – Datuk Wira Marzuki Yahya menyuarakan ketidaksetujuan tegas terhadap konsep “Malaysian Dream” yang diketengahkan oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang, dengan menyifatkannya sebagai kabur dan berpotensi menjejaskan asas negara.
Dalam satu kenyataan media hari ini, beliau yang juga Ketua Setiausaha Sekretariat Orang Melayu berkata, gagasan itu menimbulkan persoalan serius terhadap kedudukan Perlembagaan Persekutuan, kontrak sosial serta keseimbangan yang selama ini menjadi teras kestabilan negara.
Menurutnya, di sebalik retorik yang dilihat inklusif, konsep berkenaan membawa naratif yang boleh menghakis asas pembentukan negara dan mengubah kerangka sedia ada yang telah lama menjamin keharmonian masyarakat majmuk.
“Ia dilihat sebagai kesinambungan pendekatan lama yang menekankan kesamarataan mutlak tanpa mengambil kira realiti sejarah, struktur sosial dan keperluan mengekalkan keseimbangan antara kaum,” katanya.
Marzuki turut memberi amaran, pendekatan sedemikian jika terus dipromosikan tanpa penelitian mendalam, berisiko mencetuskan ketegangan serta meningkatkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat.
Beliau juga menyatakan kebimbangan gagasan itu boleh dijadikan alat politik untuk meraih sokongan dengan mengaburkan isu-isu asas negara, seolah penyelesaian terletak pada penolakan kerangka sedia ada.
“Keamanan dan keharmonian negara tidak dibina atas slogan atau idealisme semata-mata, tetapi melalui persefahaman, toleransi dan penghormatan terhadap asas yang telah dipersetujui bersama oleh pelbagai kaum dan agama,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan sebarang usaha mentakrif semula identiti nasional perlu dibuat secara menyeluruh dan berasaskan konsensus, bukannya secara sepihak.
Mengulas keutamaan semasa, Marzuki berkata, fokus negara seharusnya tertumpu kepada memperkukuh perpaduan nasional berasaskan kerangka sedia ada, memperkasa ekonomi rakyat serta memastikan kestabilan politik terus terpelihara.
“Malaysia tidak memerlukan impian baharu yang kabur, sebaliknya memerlukan komitmen yang jelas dan jujur untuk memperkukuh asas yang telah terbukti berfungsi,” katanya.
Beliau turut mengingatkan Kit Siang dan pemimpin DAP agar lebih bertanggungjawab dalam mengemukakan sebarang konsep atau gagasan, dengan setiap cadangan perlu dinilai secara kritikal serta berlandaskan realiti negara.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L