PUTRAJAYA -Kerajaan tidak bercadang mengkomersialkan Pangkalan Data Utama (PADU) di pasaran terbuka, sebaliknya mengekalkan platform itu sebagai kemudahan sokongan dalam mempertingkatkan kecekapan perkhidmatan awam.
Menteri Ekonomi, Datuk Akmal Nasrullah Mohd Nasir menegaskan, PADU kini memfokuskan kepada membantu agensi kerajaan dalam pengesahan dan analisis data, bukan sebagai sumber pendapatan negara.
Kata beliau, pendekatan itu selari dengan peranan PADU sebagai sistem utama yang menghubungkan data daripada pelbagai agensi kerajaan secara efektif.
“Saya tidak fikir kami mahu komersialkan data PADU kerana tumpuannya adalah perkhidmatan kerajaan,” katanya kepada media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian dan Hala Tuju PADU di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Isnin lalu.
PADU dibangunkan sepenuhnya pada 2023 menggunakan 100 peratus kepakaran penjawat awam, bertujuan mengurangkan risiko kebocoran data kepada pihak ketiga. Sistem ini dilancarkan secara rasmi pada 2024 bersama pendaftaran rakyat sebelum mula digunakan sepenuhnya tahun lalu.
Menurut Akmal Nasrullah, selepas fasa pembinaan sistem selesai, kerajaan kini memberi fokus kepada penggunaan PADU dalam operasi harian sektor awam dengan matlamat meningkatkan keberkesanan dan ketelusan pentadbiran kerajaan.
“Fasa pembinaan dah selesai, sekarang ini adalah fasa untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat melalui penggunaan PADU,” tambah beliau.
PADU merupakan inisiatif kritikal yang mengintegrasikan data daripada pelbagai agensi kerajaan, sekaligus memudahkan proses pengesahan data dan mempercepatkan pentadbiran awam.
Dengan penggunaan sepenuhnya sistem ini, kerajaan berharap dapat memberikan perkhidmatan yang lebih efisien dan responsif kepada rakyat.
Berita ini diolah semula oleh NurFarhana Zulkeply. Beliau adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L