KUALA TERENGGANU – Sebagai usaha untuk memperkukuhkan transformasi program Rakan Muda khususnya merapatkan jurang di kalangan golongan belia dari luar bandar di negeri pantai timur ini, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu (JBSNT Terengganu) mengambil inisiatif menganjurkan 29 aktiviti sekali gus, semperna Fiesta Rakan Muda peringkat negeri yang berlangsung selama dua hari di Kompleks Sukan Air Negeri Terengganu (KOMSAT), Pulau Duyong, di sini.
Pengarah JBSNT Terengganu, Asmadi Mohamad berkata, penganjuran berkonsepkan karnival ini adalah secara komprehensif merangkumi 10 gaya hidup mengikut kerangka program Rakan Muda yang kini dalam proses penjenamaan semula sejak diperkenalkan pada tahun 1994.

Menurut beliau, penganjuran itu turut berperanan sebagai platform penyatuan antara belia, persatuan serta kelab tempatan yang selama ini memerlukan ruang lebih inklusif untuk bergiat aktif.
“Melalui pendekatan ini, kita dapat menyediakan peluang yang lebih terbuka kepada golongan belia untuk menonjolkan bakat serta potensi masing-masing, sekali gus memastikan tiada yang tercicir daripada arus pembangunan belia negeri.
“Pengisian program yang merangkumi pelbagai segmen termasuk sukan, ekspresi kreatif dan pembangunan sahsiah turut memberi pendedahan awal kepada golongan muda, khususnya pelajar sekolah,” katanya.
Selain acara sukan yang berlangsung seperti pelayaran, kanu dan silat turut berlangsung beberapa program seperti menukar minyak enjin motosikal, gunting rambut dan beberapa perkhidmatan lain yang disediakan secara percuma sepenuhnya tanpa mengira latar belakang dan peringkat usia.
Dalam masa sama, penglibatan pelbagai agensi kerajaan dalam menjayakan program berkenaan dilihat mampu memperkasa elemen kemasyarakatan serta merapatkan lagi hubungan antara belia dan komuniti setempat.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L