HUS Perkukuh CRC Tingkatkan Pemodenan Sistem Kesihatan Negara

SARAWAK – Menteri Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad melakukan tinjauan ke Pusat Penyelidikan Klinikal (CRC), Hospital Umum Sarawak (HUS) dalam usaha memperkukuh pemodenan sistem kesihatan negara.

Beliau menegaskan, pusat tersebut menyokong pelbagai kajian berimpak tinggi, termasuk pembangunan peranti perubatan, sistem penyampaian ubat serta inovasi berasaskan Kecerdasan Buatan (AI), sejajar dengan keperluan semasa industri kesihatan.

Menurutnya, pasukan penyelidik CRC HUS giat melaksanakan mandat Kementerian Kesihatan (KKM), khususnya dalam menjalankan kajian Fasa 1 (First-In-Human) yang bermula sejak 2023, dengan tumpuan kepada pembangunan rawatan kanser generasi baharu.

“Penyelidikan ini membuka ruang kepada pembangunan terapi yang lebih berkesan dan memberi harapan baharu kepada pesakit pada masa hadapan,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Dalam lawatan itu, beliau turut meninjau penggunaan teknologi Vave Wireless Ultrasound iaitu peranti ultrasound tanpa wayar berasaskan AI yang bersambung terus ke telefon pintar bagi membolehkan pemeriksaan jantung, paru-paru, abdomen serta pemantauan kehamilan dijalankan dengan pantas di komuniti.

Beliau menjelaskan, teknologi itu memudahkan petugas kesihatan melaksanakan saringan awal tanpa memerlukan pesakit hadir ke hospital, sekali gus mempercepatkan proses diagnosis dan rawatan.

Iklan

“Kerajaan memperkenalkan inisiatif ini bagi memperluas akses kepada saringan kesihatan berkualiti tinggi, selain memastikan perkhidmatan kesihatan lebih mudah dicapai oleh rakyat,” katanya.

Menurut beliau, usaha itu mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam menerajui inovasi teknologi perubatan serta memastikan manfaatnya dapat dinikmati secara saksama oleh semua lapisan masyarakat.

Selain itu, lawatan berkenaan juga untuk memberi penghormatan sekumpulan pakar Hospital Umum Sarawak melakar sejarah negara melalui kejayaan pembedahan in-utero (dalam rahim) pertama di Malaysia bagi membaiki kecacatan Spina Bifida pada janin berusia 26 minggu.

Intervensi perintis pelbagai disiplin itu membolehkan bayi tersebut kini membesar sihat pada usia empat bulan dengan fungsi motor yang kuat tanpa memerlukan pembedahan pintasan otak, sekali gus membuktikan keupayaan tinggi kepakaran perubatan tempatan dalam mengubah kualiti hidup pesakit.

Berita ini diolah semula oleh Fatin Sajidah Fathuldin. Beliau adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *