Jejak Everest Dihidupkan Semula: Alumni UTM Suntik Semangat Baharu Generasi Muda

PUTRAJAYA — Persatuan Alumni Universiti Teknologi Malaysia (PAUTM) mengangkat semula kisah ketabahan dan keberanian luar biasa yang dipamerkan sedekad lalu oleh dua bekas pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), yang pernah mencuba sebanyak tiga kali untuk menawan puncak tertinggi dunia, Gunung Everest.

Usaha itu kini dijadikan simbol daya juang dan inspirasi kepada generasi muda agar berani mencabar batas diri serta tidak mudah berputus asa dalam mengejar impian.

Sambutan Sedekad Misi UTM Everest 2016 bakal dianjurkan dari 3 hingga 13 Jun ini di Tibet, China sebagai satu usaha memperingati perjalanan bersejarah tersebut.

Program itu bukan sekadar ulang tahun simbolik, tetapi dirangka sebagai platform untuk mengimbau semula cabaran, pengorbanan serta pengalaman getir yang dilalui oleh para pendaki, sekali gus memberi pendedahan kepada peserta mengenai realiti ekspedisi berisiko tinggi.

Melalui penganjuran program berprestij ini, PAUTM berhasrat menghidupkan kembali semangat juang yang pernah mengharumkan nama universiti dan negara di persada antarabangsa.

Inisiatif ini turut memberi penekanan kepada nilai kepimpinan, ketahanan mental dan kerja berpasukan, yang menjadi elemen penting dalam menghadapi cabaran ekstrem seperti pendakian Gunung Everest.

Sambutan tersebut juga diadakan bersempena pelancaran Program Dekad Legasi UTM Everest 2026, yang akan membawa peserta melalui laluan mencabar di Tibet.

Program ini dijangka bukan sahaja mengulangi jejak sejarah pendakian terdahulu, malah berfungsi sebagai wadah pendidikan dan inspirasi bagi membentuk generasi baharu yang lebih berdaya tahan dan berwawasan tinggi.

Dua figura, Farul Aidib Mohamad Yusoff, 32, dan Azim Afif Ishak, 37, masing-masing daripada jurusan Pengurusan Teknologi dan Sains Komputer, terus menjadi simbol kecekalan dan keberanian generasi muda.

Mantan Chef de Mission Misi UTM Everest 2016, Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor berkata sambutan sedekad itu bukan sekadar meraikan kejayaan, sebaliknya melambangkan semangat juang alumni dalam meletakkan nama UTM di pentas dunia.

“Kecekalan mereka wajar dijadikan contoh kepada pelajar universiti dan golongan muda bahawa kecemerlangan bukan hanya di bilik kuliah, tetapi juga di medan cabaran sebenar,” katanya.

Beliau turut mengimbau detik getir apabila pasukan terpaksa membatalkan cubaan pertama pada 2014 dan 2015 susulan Gempa Bumi Nepal 2015 yang meragut nyawa pendaki serta ribuan mangsa lain.

Walaupun begitu, pasukan tidak pernah melunturkan semangat dan bangkit pada tahun berikutnya dengan memilih laluan Tibet (North Face), antara laluan paling mencabar dan ketika itu belum pernah ditawan pendaki Malaysia.

Presiden PAUTM, Datuk Mohamad Khairy Ambran menyifatkan kejayaan itu sebagai hasil pengorbanan besar yang bermula sejak 2011 melalui usaha mengumpul dana serta latihan intensif.

Beliau berkata pasukan turut menghadapi tragedi runtuhan salji pada 2014 yang mengorbankan 16 sherpa, namun cabaran itu menguatkan tekad mereka untuk meneruskan misi.

Salleh akan mengetuai semula ekspedisi istimewa sempena dekad itu sebagai simbol kesinambungan legasi serta inspirasi kepada generasi baharu.

Pasukan tersebut turut menerbitkan dokumentari mini The Unforeseen serta membangunkan kandungan komik dan animasi legasi bagi mengabadikan kisah perjuangan mereka, sekali gus mendekati golongan Generasi Z.

Beliau berharap inisiatif itu dapat menyemarakkan semangat Malaysia Boleh serta menggalakkan golongan muda mengamalkan gaya hidup sihat dan membina ketahanan mental. – BERNAMA

Berita ini diolah semula oleh Fatin Sajidah Fathuldin. Beliau adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *