Insentif Bajak Dinaikkan, Lebih 60,000 Pesawah Tarik Nafas Lega

ALOR SETAR — Lebih 60,000 pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menarik nafas lega berkutan keputusan kerajaan menaikkan kadar insentif pembajakan, sekali gus membantu mengurangkan tekanan kos pengeluaran yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

Kadar Insentif Pembajakan kepada Pesawah (IPKP) kini dinaikkan kepada RM300 sehektar berbanding RM160 sebelum ini, memberikan tambahan RM140 kepada pesawah yang terkesan dengan peningkatan kos operasi, khususnya melibatkan harga diesel, sewaan jentera serta perkhidmatan pembajakan.

Wakil pesawah menyifatkan kenaikan itu sebagai langkah yang amat tepat pada masanya memandangkan kos mengusahakan sawah terus meningkat dari musim ke musim.

Mereka menjelaskan, selain kos bahan api, pesawah turut berdepan kenaikan harga input pertanian seperti baja, racun serta kos penyelenggaraan peralatan, yang memberi kesan langsung kepada margin keuntungan.

Menurut mereka, tambahan insentif ini bukan sahaja membantu menampung sebahagian kos pembajakan, malah memberi keyakinan kepada pesawah untuk meneruskan aktiviti penanaman tanpa perlu mengurangkan keluasan tanaman atau mengambil langkah penjimatan yang boleh menjejaskan hasil.

Dalam masa sama, pesawah berharap kerajaan akan terus memantau situasi kos semasa dan mempertimbangkan penambahbaikan lain, termasuk bantuan terhadap input pertanian dan sokongan teknologi bagi meningkatkan produktiviti serta kecekapan pengeluaran.

Langkah berkenaan turut dilihat sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk memperkukuh sektor pertanian negara, khususnya dalam memastikan keterjaminan bekalan makanan tidak terjejas.

Dengan peningkatan insentif ini, pengeluaran padi tempatan dijangka dapat dikekalkan pada tahap stabil, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada import beras.

Selain itu, inisiatif tersebut juga memberi isyarat komitmen kerajaan dalam menjaga kebajikan pesawah sebagai kumpulan penting dalam rantaian bekalan makanan negara.

Sokongan berterusan seperti ini dilihat mampu meningkatkan daya tahan sektor padi dan beras dalam menghadapi cabaran ekonomi serta ketidaktentuan pasaran global.

Berita ini diolah semula oleh NurFarhana Zulkeply. Beliau adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *