Anwar Tekankan Teknologi AI Selari Nilai Islam

Olahan Fatin Sajidah Fathuldin

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri menyeru agar pembangunan teknologi, khususnya Kecerdasan Buatan (AI), dilaksanakan secara seimbang dengan nilai-nilai yang terkandung dalam Al-Quran bagi memastikan umat Islam terus maju tanpa mengabaikan identiti dan prinsip asas mereka.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa penguasaan ilmu dan teknologi baharu amat penting dalam menghadapi cabaran global, namun ia perlu dipandu oleh tradisi keilmuan serta nilai Islam yang kukuh agar kemajuan yang dicapai kekal berteraskan etika dan jati diri.

“Kita harus mengapai di langit melalui penguasaan ilmu baharu seperti AI dan teknologi maklumat, namun pada masa yang sama, landasan tradisi dan nilai Islam tidak boleh ditinggalkan.

Inilah persiapan yang diperlukan untuk memecahkan tembok menghalangi kemajuan kita,” katanya ketika merasmikan Majlis Tilawah dan Hafazan al- Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah malam tadi.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Selain itu, Anwar menyifatkan konflik di Gaza, selatan Lubnan dan serangan terhadap Iran sebagai mesej jelas buat umat Islam untuk segera memperkukuh kesiapsiagaan menerusi penguasaan ilmu serta teknologi terkini.

Beliau menegaskan tanpa keseimbangan antara kemajuan teknologi dan kekuatan iman, akhlak serta jati diri, umat Islam berdepan risiko terus ketinggalan.

“Sebelum ini tiap kali serangan Israel dan sekutunya Amerika Syarikat itu hampir tidak berupaya dibalas. Hanya kali ini kita melihat zahirnya kekuatan baharu, melalui kekuatan semangat dan daya juang disertai dengan kekuatan serta kecanggihan teknologi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menekankan keperluan memperbaharui sistem pendidikan negara agar kekal berteraskan tradisi, namun terbuka meneroka bidang ilmu baharu.

“Kerajaan MADANI akan terus memperkasa sistem pendidikan agar melahirkan generasi huffaz profesional, bukan sahaja menghafal tetapi menguasai sains, teknologi dan kecerdasan buatan tanpa terpisah daripada akar akidah, akhlak dan nilai.

“Inilah pendekatan menggapai di langit, mengakar di bumi yang kita tekankan yakni menguasai ilmu baharu dan teknologi, namun tetap berpaksikan akidah, akhlak dan nilai” katanya di dalam Facebook Anwar Ibrahim.

Dalam perkembangan sama, MTHQA ke-144 bertemakan “Kalam Illahi Tradisi Diwarisi menghimpunkan 108 peserta melibatkan 14 juri, 14 qari, 14 qariah serta 80 peserta hafazan yang bersaing selama enam hari hingga 18 April.

Pertandingan itu merangkumi dua kategori utama iaitu tilawah (qari dan qariah) serta tiga kategori hafazan yang disiarkan langsung di media sosial MyJAKIMmalaysia dan saluran RTM dari jam 9 pagi hingga jam 11 malam.

Penganjuran kali ini menyaksikan pembaharuan melalui penggunaan sistem eMTHQ dan teknologi AI dalam segmen ibrah, selain melibatkan kategori tilawah serta hafazan (10, 20 dan 30 juzuk).

 Barisan jemaah hakim pula terdiri daripada peserta Projek Rintis Modul Kompetensi Pelapis MTHQK yang akan menilai aspek teknikal seperti fasohah dan tajwid, selari dengan penambahbaikan format pertandingan bagi meningkatkan tahap cabaran peserta. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *