Olahan Fatin Sajidah Fathuldin
KUALA LUMPUR – Perkembangan geopolitik dunia yang semakin tidak menentu menyedarkan Malaysia tentang kepentingan memperkukuh keselamatan tenaga sebagai salah satu keutamaan strategik negara, demi menjamin kestabilan bekalan dan daya tahan ekonomi.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yussof berkata, landskap tenaga global kini semakin mencabar dan kompleks, dipengaruhi pelbagai faktor termasuk ketegangan geopolitik serta gangguan rantaian bekalan yang sukar dijangka.
Beliau turut menjelaskan bahawa sebarang gangguan di laluan kritikal seperti Selat Hormuz boleh memberi impak besar kepada pasaran tenaga dunia, sekali gus menyebabkan ketidaktentuan harga minyak dan menjejaskan kestabilan bekalan tenaga global.
“Keadaan ini memberi impak langsung kepada kos elektrik, kos operasi perniagaan serta ekonomi keseluruhan, sekali gus menuntut pendekatan lebih strategik dalam pengurusan tenaga negara.
“Dalam keadaan seperti ini, keselamatan tenaga bukan lagi satu pilihan, sebaliknya ia merupakan keutamaan strategik negara.
“Oleh itu, kita mesti terus memperkukuh kedudukan dengan membangunkan sumber tenaga domestik yang stabil dan mampan bagi memastikan daya tahan jangka panjang,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyiapan Projek Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP)
Mengulas projek berkenaan, Fadillah berkata Malaysia mencatat pencapaian penting dalam usaha peralihan tenaga menerusi penyiapan projek solar Setia Kawan Energy (SKE) dan Selarong Pertama Energy (SPE) yang menyumbang kapasiti gabungan kira-kira 60 megawatt arus ulang alik (MWac) kepada sistem tenaga negara.
Menurutnya, projek itu dilaksanakan di bawah CGPP yang menjadi peneraju utama perubahan landskap tenaga negara akan datang.
“Kejayaan pelaksanaan projek ini membuktikan keupayaan Malaysia menterjemah dasar tenaga kepada pembangunan infrastruktur tenaga bersih yang berimpak tinggi.
“Projek seperti SKE dan SPE menjadi contoh bagaimana rangka kerja dasar mampu menggalakkan penyertaan sektor swasta serta mempercepatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui pada skala besar,” katanya.
Beliau berkata penambahan dua ladang solar di bawah CGPP itu membolehkan Malaysia mencapai kapasiti tenaga boleh diperbaharui terpasang melebihi 12 gigawatt (GW) pada tahun 2025.
“Dengan tenaga solar sebagai pemacu utama pertumbuhan, negara sedang bergerak secara progresif ke arah sasaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) iaitu 40 peratus menjelang 2035 dan 70 peratus menjelang 2050.
“Bekalan tenaga bersih kini menjadi penentu utama dalam keputusan pelaburan dalam ekonomi global masa kini,” katanya
Menurut beliau, komitmen penyahkarbonan serta keperluan kelestarian kini menjadi pengaruh utama bagi syarikat multinasional seperti Micron dan sektor pertumbuhan tinggi termasuk semikonduktor, pusat data serta pembuatan maju.
“Melalui pembekalan tenaga bersih menerusi inisiatif seperti CGPP dan Skim Pembekalan Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat (CRESS), Malaysia kini dikenali sebagai destinasi pelaburan hijau utama bagi industri masa hadapan,” katanya. – BERITA HARIAN
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L