Olahan Fatin Sajidah Fathuldin
KULLAI – Krisis tenaga global mencetuskan gelombang kenaikan kos bahan binaan dan operasi sekali gus memberi tekanan kepada sektor pembinaan serta mengancam kemajuan serta jadual penyiapan projek jalan raya di seluruh negara.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan telah memberi makluman mengenai pertambahan jumlah projek tertunda akibat tekanan kos melalui konflik di Asia Barat.
Menurut beliau, 855 projek aktif di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) melibatkan 28 kementerian dengan status semasa menunjukkan agihan satu pertiga mendahului jadual, satu pertiga mengikut jadual, serta satu pertiga lagi mengalami kelewatan.
Beliau menjelaskan bahawa projek jalan raya merupakan sektor yang paling terkesan kerana kebergantungan tinggi terhadap jentera berat yang menggunakan diesel pada harga pasaran.
“Hampir kesemua kenderaan yang digunakan dalam pembinaan jalan raya menggunakan diesel, yang mana harganya mengikut kadar pasaran dan ini kekal menjadi kebimbangan utama bagi kontraktor,” tegas beliau.
Meskipun projek bangunan mempunyai perlindungan melalui stok bahan mentah, beliau melahirkan kebimbangan bahawa jumlah projek yang tertunda mungkin akan terus meningkat susulan situasi ekonomi semasa.
Ahmad Maslan turut menegaskan bahawa pihak kontraktor dilarang sama sekali menghentikan kerja dan sebarang permohonan mengecilkan skala operasi masih belum menerima kelulusan rasmi kementerian.
Kerajaan kini sedang menunggu data saintifik daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi menentukan penanda aras rasmi kenaikan harga bahan binaan sebelum mengambil tindakan lanjut.
Kementerian juga telah mengadakan sesi libat urus bersama persatuan kontraktor bagi meneliti tuntutan berkaitan pelaksanaan Variasi Harga (VOP), Lanjutan Masa (EOT), dan kawalan harga bahan asas.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L