Lelaki mengamuk di KLIA dipercayai tertekan selepas terlepas penerbangan

SEPANG – Tindakan seorang lelaki merosakkan kemudahan awam serta mencederakan anggota keselamatan dalam kejadian yang tular di media sosial dipercayai berpunca daripada tekanan selepas terlepas penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2.

Siasatan awal mendapati lelaki terbabit dipercayai turut mengalami perselisihan faham dengan isterinya berkaitan isu penjagaan anak, yang dipercayai menjadi faktor tambahan hingga mencetuskan tindakannya di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M Ravi berkata, pihaknya menerima laporan mengenai insiden tersebut sebelum menahan suspek pada 5 April lalu kira-kira jam 10.30 pagi di Kaunter Pertukaran Antarabangsa KLIA Terminal 2.

Menurutnya, tangkapan melibatkan seorang lelaki warga asing berusia 33 tahun yang ketika itu sedang menunggu penerbangan transit ke Hatyai, Thailand.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai terlepas penerbangan selain berlaku perselisihan faham dengan isterinya berkaitan isu penjagaan anak.

“Suspek kemudian bertindak agresif dengan menghentak cermin kaunter, mengetuk papan tanda penerbangan hingga patah serta membaling botol minuman ke arah kaunter,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, tindakan suspek turut menyebabkan seorang anggota keselamatan yang bertugas mengalami kecederaan.

Katanya suspek telah mengaku bersalah di Mahkamah Sepang pada 7 April lalu.

“Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

“Selain itu, suspek turut dituduh di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil yang membawa hukuman denda sehingga RM100,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi arahan pihak keselamatan dan tidak bertindak di luar kawalan sehingga boleh mencetuskan kegusaran di tempat awam, khususnya di Terminal KLIA Terminal 1 dan KLIA Terminal 2.

Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan seorang lelaki warga asing mengamuk serta merosakkan papan tanda di kaunter KLIA Terminal 2, selain bertindak agresif terhadap anggota keselamatan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *