Bila Semua Mahu Ikhlas, Tapi Kerusi Jangan Usik

Oleh: Editorial ND

ADA satu perkara menarik dalam politik kita sekarang. Semua orang bercakap mengenai keikhlasan.

Keikhlasan mahu bekerjasama. Keikhlasan mahu menyatukan Melayu. Keikhlasan mahu mengelakkan pertembungan sesama sendiri, tetapi apabila sampai kepada soalan paling keramat – “kerusi siapa?” – tiba-tiba keikhlasan itu macam telefon masuk kawasan tiada liputan. Tak dapat dihubungi.

Begitulah nampaknya drama rundingan antara UMNO dan PAS menjelang pilihan raya yang semakin menghampiri.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

Tok Mat, Datuk Seri Mohamad Hasan minta PAS membuktikan keikhlasan. Kalau benar-benar ikhlas mahu penyatuan, katanya, apa kata diuji dahulu di salah satu negeri SG4 iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah atau Perlis.

Malah, beliau mengemukakan gambaran mudah iaitu daripada empat negeri itu, dua untuk PAS dan dua untuk UMNO. Nampak cantik, macam cadangan membahagi kek hari jadi.

Dua potong untuk kau, dua potong untuk aku. Masalahnya, kek itu bukan kek yang belum dipotong. Ada orang sudah duduk di atas kerusi sambil memegang pisau.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, pula sudah memberi isyarat agak terang. PAS mahu mempertahankan kerusi dimenanginya pada PRU15, manakala Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis yang dikenali sebagai SG4 dianggap sebagai negeri pangkalan yang perlu dikekalkan.

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Jadi, kalau satu pihak berkata, “kami mahu pertahankan apa yang kami menang,” dan pihak satu lagi berkata, “kami juga mahu pertahankan apa yang kami menang,” maka soalan seterusnya mudah. Yang mana satu hendak mengalah?

Di situlah letaknya simpulan. Sebab politik bukan pertandingan pidato mengenai siapa paling ikhlas. Politik akhirnya sampai juga ke meja rundingan dengan sehelai kertas, sebatang pen dan peta kawasan pilihan raya, dan atas kertas itu tertulis satu perkataan yang paling mudah membuat sahabat bertukar menjadi pesaing, iaitu kerusi.

Lihat sahaja Melaka. UMNO-BN sudah menyatakan mereka mahu mempertahankan semua 21 kerusi DUN yang dimenangi pada PRN lalu dan menganggapnya sebagai garis sempadan dalam rundingan.

PAS pula sedang menilai kekuatan UMNO di Melaka sebelum menentukan bentuk kerjasama. Maka di Melaka, UMNO berkata, “Ini kawasan kami.” PAS pula bertanya, “Sejauh mana kawasan itu benar-benar milik kamu?” Itulah politik.

Kata orang tua-tua, ukur baju di badan sendiri, tetapi dalam politik, ada satu masalah kecil. Kadang-kadang semua orang membawa pembaris masing-masing dan semua mengukur badan sendiri sahaja.

Kalau PAS kata SG4 ialah negeri pangkalan dan mahu mempertahankan semua kerusi yang dimenanginya, apakah itu tidak cukup jelas?

Nak PAS letak papan tanda pula. “Kerusi Ini Milik Kami, Sila Jangan Parkir”.

Abdul Hadi sendiri sudah menyatakan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis perlu terus dikuasai dan diperkukuh oleh PAS. Pada masa sama, PAS menyasarkan untuk memperluas pengaruh ke Pahang, Perak dan Selangor.  

Maknanya peta PAS itu pun sudah dilukis. SG4 jangan usik. Pahang, Perak dan Selangor cuba masuk.

Kalau begitu, UMNO juga kena membaca peta sendiri. Jangan sampai peta politik dibaca macam peta harta karun, semua tanda “X” dianggap tempat orang lain boleh korek.

Cadangan Tok Mat supaya empat negeri SG4 dibahagi dua memang sedap didengar, tetapi PAS mungkin bertanya, “Kenapa pula?” Sebab mereka bukan sedang memegang kerusi yang kosong.

PAS kini menguasai sebahagian besar kerusi negeri di Kelantan, Terengganu dan Kedah, selain mempunyai sembilan kerusi di Perlis.

Jadi dari sudut PAS, mereka mungkin bertanya: Kalau kita sudah menang, kenapa perlu serahkan? Bukankah dalam rundingan politik, pihak yang mempunyai kekuatan juga akan datang dengan tuntutan berdasarkan kekuatan itu?

Inilah hakikat yang kadang-kadang pahit untuk ditelan. Penyatuan politik tidak bermaksud semua orang tiba-tiba lupa kiraan kerusi.

Kalau ada yang percaya begitu, mungkin dia sedang membaca buku politik yang halaman kerusinya tercabut, dan jangan lupa: Ini bukan sekadar UMNO lawan PAS.

Satu lagi perkara yang menarik ialah usaha mencari kerjasama tidak boleh dilihat hanya sebagai rundingan dua parti. PAS bergerak dalam Perikatan Nasional (PN). UMNO pula berada dalam Barisan Nasional (BN).

Maka, apabila bercakap mengenai pembahagian kerusi, persoalannya bukan sekadar: “UMNO dapat berapa?” Tetapi juga: “PN letak siapa di mana?”

Sebab itu kalau seseorang masuk ke meja rundingan dengan idea hanya dua orang yang duduk di situ, sedangkan di luar bilik ada beberapa lagi parti yang mempunyai tuntutan sendiri, jangan terkejut kalau pintu rundingan belum sempat ditutup, sudah ada orang mengetuk.

Politik gabungan bukan macam makan nasi bungkus. Buka, pilih lauk sendiri, bayar dan balik.

Di sinilah ironi politik kita. UMNO bercakap tentang kerjasama. PAS juga bercakap tentang penyatuan. Tetapi kedua-duanya mempunyai kepentingan pilihan raya masing-masing, dan itu bukan sesuatu yang pelik.

Dalam politik, setiap parti memang akan cuba memaksimumkan kekuatan sendiri. Cuma masalahnya timbul apabila bahasa penyatuan terlalu tinggi, tetapi kira-kira kerusi terlalu rendah untuk disebut secara terbuka.

Akhirnya rakyat mendengar perkataan seperti ikhlas, perpaduan, penyatuan, ukhuwah. Tetapi di belakang tabir, mungkin kalkulator sedang bekerja lebih kuat daripada penceramah.

Lebih menarik lagi apabila kita melihat bagaimana naratif politik berubah mengikut kawasan. Di satu kawasan, isu Melayu menjadi senjata politik. Di kawasan lain, isu kerajaan, pembangunan atau prestasi pentadbiran pula diketengahkan.

PAS sendiri kini mahu mengekalkan negeri pangkalannya sambil memperluas pengaruh ke Pahang, Perak dan Selangor. Itu strategi politik. UMNO juga mempunyai strateginya sendiri.

Maka, jangan terlalu hairan kalau dua parti yang bercakap tentang penyatuan masih berebut kawasan yang sama. Bersatu hati tidak semestinya bersatu kerusi. Itu beza antara slogan dengan pilihan raya.

Jadi, Siapa Yang Perlu Mengalah? Soalan ini sebenarnya tidak perlu dijawab oleh penulis pojok. Sebab, jawapannya nanti akan diberikan oleh parti masing-masing melalui rundingan, pengumuman calon dan akhirnya, kalau sampai ke situ, melalui pengundi.

Tetapi, satu perkara nampak jelas. Kalau UMNO mahu PAS menunjukkan keikhlasan dengan membuka ruang di SG4, PAS pula sudah menunjukkan isyarat negeri-negeri itu ialah kawasan terasnya.

Kalau UMNO mahu mempertahankan semua 21 kerusi di Melaka, itu juga pendirian yang sudah diumumkan secara terbuka. Jadi, janganlah masing-masing bertanya, “Kau ikhlas tak?”

Sebelum bertanya soalan itu, mungkin lebih baik tanya dahulu: “Kau sanggup lepaskan berapa kerusi?” Sebab dalam politik, mulut boleh menyebut “penyatuan”, tetapi kerusi tetap tidak boleh diduduki dua orang serentak.

Itulah masalahnya. Semua mahu bersatu. Semua mahu menang. Semua mahu mempertahankan kawasan sendiri, dan akhirnya, seperti kata orang tua-tua: Air yang tenang jangan disangka tiada buaya.

Dalam politik, meja rundingan mungkin nampak tenang. Tetapi di bawah meja, kaki masing-masing sedang mengira kerusi. – ND

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *