SEPANG – Seramai 141 petugas haji melibatkan kakitangan Tabung Haji (TH) dan Kementerian Kesihatan (KKM) berlepas ke Arab Saudi hari ini bagi memulakan persiapan awal operasi haji bagi musim 1447H/2026M.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan memaklumkan, kumpulan itu adalah pasukan awal pertama yang dihantar bagi memastikan segala keperluan dan operasi berjalan lancar sebelum ketibaan 31,600 bakal jemaah haji dari Malaysia.
Beliau berkata, pasukan berkenaan melibatkan 61 petugas kebajikan dan 80 petugas perubatan, manakala kumpulan kedua seramai 107 orang dijadualkan berlepas pada 15 April ini bagi memperkukuh persediaan di Tanah Suci.
“Tahun
Bottom of Form
ini TH telah buat persiapan yang sangat mantap dari segi latihan, pimpinan dan kursus.
“Pasukan TH daripada pelbagai latar belakang, kepakaran dan pengalaman inilah yang membentuk satu pasukan yang kuat dan mampu memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada jemaah haji negara,” katanya.
Kata beliau, semua petugas yang bertindak sebagai barisan hadapan itu telah mengikuti kursus komprehensif bagi meningkatkan kecekapan, pengetahuan serta kemahiran untuk memastikan mereka bersedia sepenuhnya dan terlatih dalam melaksanakan tanggungjawab menyantuni jemaah haji negara.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata, petugas haji yang terpilih memikul amanah besar sebagai barisan hadapan dalam menyantuni dhuyufurrahman atau tetamu Allah sepanjang musim haji.
Beliau turut mendoakan agar semua urusan operasi haji dipermudah serta petugas dan jemaah sentiasa dilindungi sepanjang berada di Tanah Suci.
Penerbangan pertama jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci dijadualkan bermula pada 18 April ini, manakala penerbangan terakhir pada 20 Mei.
Hari Wukuf, yang juga kemuncak ibadah haji, dijangka jatuh pada 26 Mei.
Sebanyak 100 penerbangan sewa khas digunakan untuk membawa kesemua jemaah haji Malaysia yang melibatkan syarikat penerbangan AMAL by Malaysia Airlines Bhd dan Saudia Airlines.
Sebanyak lapan stesen berlepas akan digunakan untuk para jemaah haji di seluruh negara bagi urusan melapor diri, iaitu Kota Bharu di Kelantan, Kuala Terengganu (Terengganu), Alor Setar (Kedah), Bayan Lepas (Pulau Pinang), Senai (Johor), Kuching (Sarawak), Kota Kinabalu (Sabah) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L