KUALA LUMPUR – Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan menegaskan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan selepas mendapati tiada proses sah dari sudut perlembagaan dan adat yang pernah menyebabkan baginda terhenti daripada memegang jawatan berkenaan.
Ketetapan itu diputuskan menerusi persidangan khas DKU yang berlangsung pada Ahad, sebelum kenyataan rasmi berhubung pendirian berkenaan dikeluarkan semalam.
DKU berkata, pengumuman pada 5 September lalu yang bertujuan menurunkan Tuanku Muhriz tidak mempunyai sebarang kesan dari segi Perlembagaan dan adat Negeri Sembilan.
Menurutnya, dokumen bertarikh 5 September itu adalah bersandarkan kepada satu proklamasi bertarikh 19 April lalu yang telah diputuskan sebagai cacat, luput dan terbatal.
“Tiada proses yang sah pernah menyebabkan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir terhenti memegang jawatan itu.
“Baginda kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Yang di-Pertua Dewan,” menurut kenyataan DKU itu.
DKU menjelaskan, proklamasi 19 April itu didapati tidak sah kerana tiga daripada empat individu yang menandatanganinya tidak memegang jawatan Undang mengikut adat luak masing-masing pada ketika itu.
Selain isu berkaitan kedudukan penandatangan, DKU berkata, siasatan penuh seperti yang diwajibkan di bawah Perkara X(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 juga tidak pernah dilaksanakan.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Keadaan itu menurut DKU, turut menafikan hak Tuanku Muhriz untuk menerima notis serta diberikan peluang sewajarnya untuk didengar berhubung perkara yang menjadi asas kepada proklamasi berkenaan.
DKU turut membangkitkan tindakan Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Aminuddin Harun, yang enggan menandatangani proklamasi tersebut pada 20 April kerana mendapati syarat di bawah Perkara X tidak dipenuhi, selain seorang daripada individu yang menandatangani dokumen itu bukan Undang yang sah.
Menurut DKU, keengganan itu bermakna fungsi Menteri Besar seperti diperuntukkan di bawah Perkara X(2) telah dilaksanakan.
Justeru, proklamasi berkenaan dianggap luput dan terbatal, sekali gus tidak lagi mempunyai asas untuk digunakan bagi mengambil tindakan terhadap kedudukan Tuanku Muhriz.
Sehubungan itu, DKU berpandangan tindakan Menteri Besar baharu, Datuk Ismail Lasim menandatangani dokumen pada 5 September yang pada asasnya adalah proklamasi sama tidak dapat memperbetulkan atau memulihkan kecacatan yang terdapat pada dokumen terdahulu.
DKU menegaskan, pertukaran Menteri Besar tidak bermakna sesuatu fungsi yang telah dilaksanakan sebelum itu boleh diulang semula bagi menghidupkan kembali proses yang telah luput atau terbatal.
Menurutnya, tafsiran sebaliknya boleh mewujudkan keadaan di mana proklamasi sama boleh dihidupkan semula setiap kali berlaku pertukaran pentadbiran negeri.
“Pertukaran Menteri Besar tidak membolehkan fungsi yang telah dilaksanakan diulang semula kerana keadaan itu akan menyebabkan proklamasi yang sama boleh dihidupkan kembali setiap kali berlaku pertukaran pentadbiran,” menurut kenyataan tersebut.
Dalam pada itu, DKU berkata tindakan enam individu yang menandatangani dokumen bertarikh 5 September itu boleh dianggap sebagai satu perbuatan “derhaka” dari sudut adat dan undang-undang.
Ia antaranya kerana empat daripada individu berkenaan didakwa tidak memegang jawatan seperti yang dinyatakan dalam dokumen tersebut ketika menandatanganinya.
DKU turut mendakwa dokumen itu ditandatangani bagi tujuan menurunkan Yang di-Pertuan Besar tanpa melalui siasatan yang diwajibkan serta mengeluarkan arahan kepada pegawai kerajaan tanpa kuasa yang sah.
Susulan itu, DKU mengarahkan setiausahanya membuat laporan polis bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan berhubung tindakan enam individu terbabit.
DKU juga mengarahkan kerajaan negeri serta semua pegawainya supaya terus mengiktiraf dan berurusan dengan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Pada masa sama, DKU berkata pihaknya akan mendapatkan penjelasan rasmi daripada kerajaan negeri berhubung terma rujukan cadangan penubuhan Jawatankuasa Pendamai.
Menurut DKU, perkara berkaitan adat Melayu berada di bawah bidang kuasa badan berkenaan seperti diperuntukkan dalam Perkara XVI Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Sehubungan itu, DKU menegaskan perkara berkaitan adat Melayu tidak boleh diwakilkan atau dikemukakan untuk melalui proses pendamaian.
Pendirian tersebut memperlihatkan DKU mengambil pendirian bahawa kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan masih kekal dan sebarang tindakan yang bertentangan dengan kedudukan berkenaan tidak mempunyai asas yang sah dari sudut adat serta peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
