Olahan Siti Khadijah Manudin
KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini memberi tumpuan kepada langkah menyeluruh dalam menghadapi cabaran ekonomi dan krisis global semasa, dengan penekanan terhadap kesejahteraan rakyat serta kestabilan bekalan negara.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata kerajaan komited memperkukuh penguatkuasaan bagi mengekang ketirisan dan aktiviti penyeludupan melalui pemantauan rantaian bekalan yang lebih berkesan serta pelaksanaan Ops Tiris 4.0 secara bersepadu melibatkan pelbagai agensi.
Beliau turut menegaskan bahawa aspek kesihatan awam kekal menjadi keutamaan, khususnya dalam memastikan bekalan ubat-ubatan dan peranti perubatan mencukupi melalui sistem pemantauan stok berpusat, kepelbagaian sumber import dan kesiapsiagaan pelan kecemasan.
Dalam jangka panjang, kerajaan akan memperkukuh stok penimbal strategik, membangunkan industri tempatan serta merangka dasar menyeluruh menerusi inisiatif MyMedSecure.
Selain itu, mesyuarat turut menilai operasi haji melibatkan 31,600 jemaah Malaysia dengan penekanan terhadap aspek keselamatan dan kebajikan mereka.
Anwar menegaskan kerajaan akan terus bertindak secara tersusun dan bertanggungjawab dalam mengurus krisis bagi memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara serta ketahanan negara kekal kukuh. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L