SHAH ALAM – Bagi kebanyakan keluarga di Malaysia, daging merupakan hidangan biasa, lebih-lebih lagi ketika musim perayaan.
Namun, bagi Maryam Al-Hussein, 47, dan sembilan anaknya yang tinggal di kem pelarian Afrin, Syria, hidangan daging adalah sesuatu yang hampir mustahil untuk dinikmati.
Selama lima hingga enam tahun, mereka tidak pernah merasai daging akibat kemiskinan dan kekangan kewangan.
Hidup serba kekurangan dalam khemah tanpa elektrik dan alat pemanas, keluarga ini terpaksa menahan kesejukan, kelaparan dan hanya bergantung kepada makanan asas seperti bulgur, roti dan teh untuk meneruskan kehidupan harian.
Dahulunya, Maryam memperoleh pendapatan melalui hasil tanaman yang diusahakan di tanah miliknya. Kini, beliau hanya mampu bergantung kepada bantuan kemanusiaan akibat konflik yang memaksa mereka meninggalkan tanah dan kehidupan asal.

Pada tahun 2025, Maryam telah terpilih menerima sumbangan daging korban daripada Islamic Relief yang memberikan kelegaan dan kegembiraan buat beliau sekeluarga.
“Selepas bertahun-tahun tak dapat makan daging, akhirnya tahun ini kami dapat menikmatinya di Hari Raya Aidiladha. Anak-anak saya sangat gembira,” katanya.
Kisah Maryam mencerminkan realiti jutaan keluarga lain di seluruh dunia yang berdepan kekurangan makanan berkhasiat akibat kemiskinan, konflik dan bencana berpanjangan, di mana daging hanya dapat dinikmati sekali setahun, atau langsung tidak.
Dalam konteks ini, Aidiladha membawa makna yang jauh berbeza. Bagi mereka, ia bukan sekadar perayaan, tetapi satu-satunya peluang untuk menikmati makanan berkhasiat, merasai kegembiraan bersama keluarga dan seketika melupakan kesukaran hidup.
Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia), Siti Fadilah Mohd Hood berkata, masih ramai keluarga di seluruh dunia yang hidup dalam keadaan serba kekurangan dan menanti saat seperti ini setiap tahun.
“Bagi sesetengah keluarga, mereka sangat menantikan detik tibanya bulan Zulhijjah kerana di bulan itulah mereka berpeluang menikmati juadah daging.
“Kebanyakan penerima manfaat ini merupakan mereka yang telah lama bergelut dalam kancah kemiskinan dan peperangan. Oleh itu, agihan daging korban ini sedikit sebanyak dapat memberi kebahagiaan dan membantu mereka dalam menyambut Aildiladha,” katanya.
Sehubungan itu, IR Malaysia telah melancarkan kempen Rezeki Qurban pada 30 Mac lalu bagi membuka peluang kepada rakyat Malaysia untuk berkongsi rezeki dengan golongan memerlukan, khususnya di kawasan yang terjejas akibat krisis kemanusiaan.
Kempen ini menyasarkan penyertaan orang ramai sebanyak 480 bahagian untuk membantu keluarga rentan di beberapa negara termasuk Mali, Niger, Somalia, Yaman, Sudan dan Palestin (Gaza), dengan setiap sumbangan bakal memberi impak langsung kepada penerima manfaat.
Antara golongan yang akan menerima agihan daging korban ialah ibu tunggal, warga emas, anak yatim, Orang Kurang Upaya (OKU), pelarian, keluarga terjejas bencana dan keluarga dengan bilangan isi rumah ramai.
Pada tahun 2025, Islamic Relief secara global telah melaksanakan 185,048 bahagian korban di 29 negara, memberi manfaat kepada lebih 3.2 juta individu melalui agihan 585,487 pek daging korban.
IR Malaysia turut berterima kasih kepada semua penyumbang yang menyertai kempen Rezeki Qurban pada tahun 2025. Dengan kepercayaan dan amanah yang diberikan, IR Malaysia telah melaksanakan 731 bahagian korban di Palestin (Gaza), Syria, Yaman, Mali, Malawi dan Somalia serta memberi manfaat kepada 13,976 orang.
Di Malaysia pula, pelaksanaan ibadah korban yang dijalankan oleh IR Malaysia membolehkan 2,980 orang penerima manfaat di Sandakan, Sabah dan Pulau Carey, Klang, Selangor dapat menikmati juadah daging korban.

Bagi keluarga seperti Maryam, sumbangan ini membawa lebih daripada sekadar makanan. Ia adalah kegembiraan buat anak-anak, kelegaan buat ibu bapa dan harapan hari esok buat mereka.
Dengan hanya serendah RM350 satu bahagian, orang ramai yang ingin melaksanakan ibadah korban boleh mendaftar melalui kempen Rezeki Qurban di laman web rasmi IR Malaysia, www.islamic-relief.org.my sehingga 20 Mei 2026 atau hubungi talian 03-8926 3434 untuk mendapatkan info lanjut.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L