USIM Perkasa Ekosistem Inovasi Melalui Sesi Dialog Pra-Acara URIIS 2026 Siri 4

Oleh: Dr. Hammad Farhi Mohd Saudi

NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia terus memperkukuh peranannya sebagai pemangkin inovasi dan pertumbuhan ekonomi negara menerusi penganjuran Sesi Dialog Pra-Acara Sidang Kemuncak Pelaburan Penyelidikan & Inovasi Universiti (URIIS) Siri 4 yang berlangsung hari ini di Dewan Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), USIM.

Program ini merupakan siri dialog kepada sidang kemuncak utama yang dijadualkan berlangsung pada 21 hingga 23 September ini di World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur dan akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Program strategik ini menghimpunkan wakil universiti, pemain industri, pelabur serta agensi kerajaan bagi membincangkan hala tuju kerjasama penyelidikan, inovasi dan pelaburan berimpak tinggi antara universiti dan industri.

Naib Canselor USIM, Professor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani dalam ucapan alu-aluannya menegaskan, inovasi tidak boleh bergerak secara bersendirian, sebaliknya perlu digerakkan melalui sinergi idea, bakat dan pelaburan strategik.

Menurut beliau, URIIS 2026 yang membawa tema “Invest in Malaysia’s Innovation” dengan fokus “Investing in Campus bertujuan membuka ruang kepada universiti untuk menjadi pusat pembangunan teknologi, penyelesaian industri dan bakat masa hadapan yang lebih relevan dengan keperluan pasaran.

“Universiti hari ini bukan lagi sekadar institusi pendidikan, tetapi juga penyedia penyelesaian, rakan inovasi dan pemangkin ekonomi negara. Penyelidikan perlu diterjemahkan kepada penyelesaian sebenar, dikomersialkan dan diberi nilai pelaburan,” katanya.

Beliau turut menekankan, kejayaan ekosistem inovasi negara memerlukan penglibatan aktif industri dan pelabur sebagai pencipta bersama (co-creators) dalam mempercepat proses pengesahan idea, pembiayaan inovasi dan pengembangan penyelesaian ke pasaran.

Turut hadir dalam program itu ialah wakil daripada Invest Negeri Sembilan selaku rakan strategik program yang menzahirkan komitmen berterusan organisasi itu dalam memperkukuh pembangunan pelaburan dan inovasi di negeri ini.

Dalam sesi dialog dan pembentangan rumusan forum yang dihadiri seramai 120 orang peserta dari pelbagai sektor industri, akademia dan badan kerjaan, beberapa cabaran utama telah dikenal pasti termasuk jurang antara keperluan industri dan hala tuju akademik, tahap kesiapsiagaan inovasi untuk dikomersialkan, isu tadbir urus kerjasama, kekurangan bakat berkemahiran industri serta cabaran berkaitan harta intelek dan dasar ekosistem inovasi negara.

Sementara itu, dalam sesi penutup, antara cadangan penyelesaian yang diketengahkan oleh Prof. Ts. Dr. Mohd Ikmar Nizam Mohamad Isa, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) USIM ialah:

  • memperkukuh penyelarasan antara universiti dan industri;
  • mewujudkan pusat sehenti kerjasama industri di universiti;
  • memperkasa pembangunan bakat dan latihan berorientasikan industri;
  • memperkukuh peranan pejabat pemindahan teknologi (TTO);
  • memformalkan model kerjasama strategik yang mampan; serta
  • meningkatkan sokongan dasar bagi mempercepat pengkomersialan inovasi tempatan.

Program ini turut menegaskan masa depan pendidikan tinggi perlu dipacu industri, diterajui inovasi dan diperkasakan melalui perkongsian strategik yang mampan antara universiti, industri dan kerajaan.

Sementara itu, Pengarah Pusat Libatsama Masyarakat dan Jaringan Industri (PLiMJI), Dr. Hammad Farhi Mohd Saudi selaku penganjur utama program berkata, USIM melalui PLiMJI kekal komited untuk terus menjadi platform penghubung utama dalam memperkukuh ekosistem penyelidikan, inovasi dan pelaburan negara sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI serta agenda transformasi ekonomi negara.

Dr. Hammad Farhi Mohd Saudi ialah Pengarah Pusat Libatsama Masyarakat dan Jaringan Industri Universiti Sains Islam Malaysia

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *