Ops Gunung Batu Putih: SAR Jaslinda Diteruskan, GIRN Bantu Aspek Komunikasi

TAPAH – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) Jaslinda Saludin, 49, yang dilaporkan hilang ketika menyertai pendakian di Gunung Batu Putih di sini diteruskan hari ini dengan penambahbaikan aspek komunikasi Rangkaian Trunk Radio Bersepadu Kerajaan (GIRN) di Pusat Kawalan Bomba, Kuala Woh. 

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata operasi SAR akan difokuskan di sekitar laluan menghala ke Gunung Rayu dan Pos Musoh yang dipercayai berkemungkinan menjadi laluan mangsa tersasar.

“Aspek peralatan dan kaedah komunikasi juga akan ditambah baik dengan kehadiran pihak SAPURA iaitu pihak yang bertanggungjawab bagi GIRN di lokasi PKB (pos kawalan bomba) ,” katanya dalam satu kenyataan. 

Beliau berkata operasi hari ini akan diteruskan dengan bantuan Pesawat AW139 dari Pengkalan Udara JBPM Wilayah Utara dan seramai 12 anggota penyelamat digerakkan menaiki pesawat bagi membantu lapan anggota penyelamat sedia ada yang masih berada di puncak Gunung Batu Putih selepas bermalam di lokasi berkenaan.

Katanya, PKB masih beroperasi di Kuala Woh manakala Pos Kawalan Hadapan yang melibatkan penggunaan pesawat ditempatkan di Kem Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor.

Jaslinda dilaporkan bersama 13 lagi individu serta dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada 2 pagi, 23 Mei melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.

Dia dan seorang lagi pendaki Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti, bagaimanapun Jaslinda dilaporkan meneruskan perjalanan ke puncak gunung. 

Mohd Hanafi berjaya dibawa turun oleh pasukan bomba dengan helikopter semalam.  – BERNAMA

Telegram 

Facebook 

TikTok

Whatsapp 

Iklanadmin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *