USIM Perkukuh Integrasi Ilmu, Standard dan Inovasi dalam Pembangunan Industri Madu Negara

NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkukuh peranannya sebagai institusi ilmu yang menghubungkan kepakaran akademik, keperluan industri dan kesejahteraan masyarakat melalui penganjuran Seminar MS 2683:2025 Madu dan MS 2782:2025 Kelulut sempena Sambutan Hari Lebah Sedunia 2026 yang diadakan pada 18 Mei lalu.

Majlis dirasmikan Ketua Pengarah Jabatan Standard Malaysia, See Chee Kong.

Program anjuran bersama Jabatan Standard Malaysia dan Pusat Libatsama Masyarakat dan Jaringan Industri (PLiMJI) USIM itu menjadi platform penting bagi meningkatkan kefahaman masyarakat, pemain industri, ahli akademik dan pelajar mengenai Malaysia Standard terkini berkaitan madu dan kelulut.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USIM, Prof. Ts. Dr. Mohd Ikmar Nizam Mohamad Isa dalam ucapan aluannya berkata, penganjuran seminar tersebut mencerminkan komitmen USIM dalam memperkasa penyelidikan, inovasi dan pemindahan ilmu yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat.

Menurut beliau, USIM mempunyai barisan pakar yang aktif dalam bidang penternakan madu kelulut serta pembangunan produk hiliran berkaitan.

Malah, beberapa projek yang dipantau oleh PLiMJI turut berjaya memperoleh geran dan memberi impak kepada komuniti, termasuk komuniti Orang Asli khususnya di Negeri Sembilan.

Lebih membanggakan, USIM juga telah menghasilkan produk ubat kumur klinikal berasaskan madu kelulut melalui penyelidikan yang dijalankan oleh kumpulan penyelidik di Fakulti Pergigian.

Inovasi ini menjadi bukti bahawa penyelidikan berkaitan madu dan kelulut bukan sahaja berpotensi dalam sektor penternakan dan makanan, malah mampu memberi sumbangan bermakna dalam bidang kesihatan serta kesejahteraan masyarakat.

“Kejayaan tersebut turut memperlihatkan kekuatan pendekatan USIM dalam mengintegrasikan ilmu Naqli dan Aqli, iaitu menghubungkan nilai sunnah dengan pembuktian saintifik.

Pendekatan ini selari dengan falsafah pendidikan USIM yang menekankan pembangunan ilmu yang seimbang, berimpak dan berpaksikan manfaat kepada ummah.”

Katanya, hubungan strategik antara USIM dan Jabatan Standard Malaysia juga bukan sesuatu yang baharu.

USIM telah memperoleh pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti daripada badan pensijilan yang diakreditasi oleh Jabatan Standard Malaysia, manakala makmal Institute of Fatwa and Halal (IFFAH) USIM turut menerima akreditasi di bawah Skim Akreditasi Makmal Malaysia (SAMM).

Penganjuran seminar ini diharap dapat memperkukuh budaya kualiti, standard dan kecemerlangan dalam ekosistem madu negara, di samping membuka lebih banyak ruang kerjasama antara universiti, industri dan masyarakat.

Melalui pendekatan berteraskan ilmu, inovasi dan libatsama komuniti, USIM terus komited untuk menyumbang kepada pembangunan industri yang lebih mampan serta memberi manfaat kepada kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh.

Pelbagai pameran turut diadakan antaranya dari Jabatan Pertanian, Program Keselamatan & Kualiti Makanan, Malaysian Genome Vaccine Institute, Makmal Unipeq Universiti Kebangsaan Malaysia, Gabungan Persatuan Usahawan Kelulut Malaysia, Syarikat Madu Kelulut Brainey, Syarikat Madu Eco Bee Biotech dan Pasukan Penyelamat Lebah. – USIM.EDU

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *