Pemandu Mabuk Berdepan Hukuman Mati Selepas Rempuh Penunggang Motosikal

KLANG – Seorang lelaki berusia 28 tahun kini berdepan hukuman mati selepas memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah, menyebabkan seorang penunggang motosikal berusia 33 tahun maut dalam kemalangan di Jalan Raya Barat, Klang, Mac lalu.

Saktygaanapathy Ravichandran didakwa menyebabkan kematian Amirul Hafiz Omar dalam insiden pada jam 11.47 pagi 29 Mac lalu, selepas mangsa tercampak ke atas sebuah kereta lain akibat rempuhan kenderaan dipandu tertuduh.

Pertuduhan asal di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 telah dipinda kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun serta sebatan jika tidak dijatuhi hukuman mati.

Tertuduh turut mengaku bersalah terhadap pertuduhan berasingan membabitkan dadah jenis benzo dan Tetrahydrocannabinol (THC), yang boleh dihukum denda maksimum RM5,000 atau penjara dua tahun.

Mahkamah menetapkan 3 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula, sementara tertuduh belum dilantik peguam.

Peguam pemerhati yang mewakili keluarga mangsa berkata, pihak keluarga menghargai ketegasan pendakwaan untuk meminda pertuduhan kepada pembunuhan dan kini dalam proses tindakan undang-undang sivil terhadap tertuduh serta pihak insurans.

Insiden itu mencetuskan kemarahan orang ramai selepas mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, menimbulkan persoalan mengenai keselamatan jalan raya dan pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan dadah.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *