Oleh: Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay
PERKEMBANGAN risikan yang semakin serius ketika itu mendorong satu mesyuarat penyelarasan diadakan di Bukit Aman, melibatkan pasukan elit Polis Diraja Malaysia khususnya Unit Tindakan Khas (UTK) dan Cawangan Khas.
Dalam perbincangan tersebut, pihak berkuasa menilai sasaran sebagai “High Value Target” yang mempunyai kepakaran tinggi dalam perang gerila, penggunaan senjata api serta pengendalian bahan letupan.
Terdapat juga kebimbangan suspek, dikenali sebagai Mas Selamat Kastari, mungkin telah menyediakan bahan letupan buatan sendiri (IED) dan berpotensi melancarkan serangan bunuh diri sekiranya serbuan dilakukan.
Atas asas ancaman itu, keputusan diambil untuk melaksanakan operasi serbuan dengan penglibatan penuh pasukan UTK.
Pada 31 Mac 2009, pasukan gabungan UTK dan Cawangan Khas, termasuk Bahagian Counter Terrorism dan Bahagian Teknikal, digerakkan ke Johor Bahru.
Operasi ini diketuai pegawai kanan berpengalaman dalam operasi berisiko tinggi. Setelah penyelarasan akhir dibuat di lapangan, serbuan dilancarkan pada awal pagi 1 April 2009 ke atas sebuah rumah di Kampung Tawakal, Seelong Jaya.
Operasi dilakukan dengan penuh taktikal, mengambil kira kemungkinan ancaman letupan dan serangan balas daripada sasaran.
Pasukan serbuan UTK memecah masuk ke dalam rumah tersebut dan melakukan pemeriksaan awal di tingkat bawah, namun tidak menemui suspek.
Yang ditemui hanyalah peralatan latihan seperti punching bag, senjata tiruan jenis MP5 serta wayar-wayar yang telah dipotong, yang menimbulkan syak rumah tersebut mungkin digunakan sebagai tempat latihan atau persediaan operasi.
Pasukan kemudian bergerak ke tingkat atas dan memeriksa bilik demi bilik. Dalam satu bilik, keadaan mencurigakan ditemui apabila sebuah almari pakaian didapati terbuka dalam keadaan gelap. Ketika pemeriksaan dilakukan, suspek berjaya dikesan bersembunyi di dalamnya.
Dalam keadaan tegang, suspek ditarik keluar dan didapati menggenggam sesuatu di kedua-dua tangannya. Namun selepas diperiksa, genggaman tersebut kosong dan tiada sebarang bahan letupan atau senjata ditemui pada tubuhnya.

Suspek kemudiannya diserahkan kepada pasukan tangkapan dari Bahagian Counter Terrorism yang mengesahkan identitinya sebagai Mas Selamat Kastari. Penahanan dibuat di bawah peruntukan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), sebelum beliau dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor dan seterusnya ke Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut.
Selepas hampir dua bulan menjalani proses soal siasat, Mas Selamat Kastari dikenakan perintah tahanan selama dua tahun di bawah ISA dan ditempatkan di Kem Tahanan Kamunting, Perak.
Namun begitu, perkembangan baharu muncul pada pertengahan tahun 2010 apabila maklumat risikan daripada tahanan lain menunjukkan Mas Selamat Kastari kembali aktif menjalani latihan fizikal di dalam pusat tahanan.
Aktiviti seperti tekan tubi dan larian kecil dalam sel menimbulkan kebimbangan beliau mungkin sedang mempersiapkan diri untuk melarikan diri.
Maklumat ini kemudiannya dipanjangkan kepada kepimpinan tertinggi Cawangan Khas, bersama cadangan agar Mas Selamat Kastari diserahkan lebih awal kepada pihak berkuasa Singapura.
Cadangan tersebut dibuat atas pertimbangan risiko keselamatan, memandangkan kemungkinan suspek cuba meloloskan diri sebelum tamat tempoh tahanan.
Satu mesyuarat peringkat tertinggi diadakan bagi membincangkan perkara ini, namun majoriti pegawai berpandangan Mas Selamat Kastari wajar ditahan sehingga tamat tempoh perintah.
Bagaimanapun, terdapat pandangan berbeza bahawa mengekalkan tahanan berisiko tinggi untuk tempoh lebih lama sebenarnya meningkatkan kemungkinan insiden melarikan diri.
Tambahan pula, sebagai warganegara Singapura, Mas Selamat Kastari akhirnya tetap perlu diserahkan kembali kepada negara asalnya. Selepas pertimbangan menyeluruh, keputusan dibuat untuk menamatkan perintah tahanan lebih awal dan beliau diserahkan kepada pihak berkuasa keselamatan Singapura pada 24 September 2010.
Perkembangan seterusnya, termasuk insiden pembolosan dari pusat tahanan di Singapura, memperlihatkan tahap keupayaan dan keazaman individu seperti Mas Selamat Kastari yang tidak boleh dipandang ringan.
Kejadian tersebut menjadi peringatan bahawa kumpulan militan mempunyai kebolehan tinggi dalam merancang, mengenalpasti kelemahan sistem keselamatan serta melaksanakan operasi dalam apa jua keadaan.
Kes ini turut menonjolkan kepentingan undang-undang pencegahan seperti ISA serta undang-undang lain seperti SOSMA, POCA dan POTA dalam memastikan keselamatan negara sentiasa terpelihara.
Dalam menghadapi ancaman yang kompleks dan sukar dijangka, pendekatan proaktif oleh pihak keselamatan adalah kritikal bagi mengekalkan kestabilan dan keharmonian masyarakat.
Akhirnya, kejayaan operasi ini tidak hanya terletak pada penahanan seorang individu, tetapi juga mencerminkan tahap komitmen, kepakaran dan pengorbanan anggota pasukan keselamatan negara.
Sejak sebelum merdeka hingga ke hari ini, peranan Polis Diraja Malaysia dalam menjaga keamanan negara terus menjadi benteng utama yang wajar dihargai dan diiktiraf oleh semua lapisan masyarakat.
Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay ialah Timbalan Ketua Polis Negara
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L