Tujuh Ahli MPP Mahasiswa Keadilan Letak Jawatan, Hilang Kepercayaan Terhadap PKR

KUALA LUMPUR – Krisis keyakinan terhadap Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilihat semakin melebar apabila tujuh ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) yang dipilih dalam pemilihan lalu mengumumkan peletakan jawatan berkuat kuasa serta-merta.

Bekas Pengerusi MKM, Ram Erfan Zur Nuqman berkata, keputusan itu dibuat selepas mereka hilang kepercayaan terhadap hala tuju PKR di bawah pimpinan Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, PKR yang suatu ketika dahulu dilihat sebagai simbol perjuangan reformasi dan perubahan kini semakin menjauh daripada prinsip asal perjuangannya.

“Parti yang dahulu melaungkan perjuangan melawan salah guna kuasa, ketelusan dan kebebasan institusi kini dilihat semakin jauh daripada prinsip tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan itu menyebut beberapa isu utama menjadi punca hilangnya keyakinan terhadap kepimpinan PKR termasuk kegagalan parti menyatakan pendirian tegas berhubung dakwaan kewujudan ‘Mafia Korporat’ yang didakwa mencemari integriti institusi penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis.

Mereka turut mendakwa PKR gagal memberikan respons serius terhadap dakwaan membabitkan seorang Ahli Parlimen PKR yang dikatakan menerima wang sebanyak RM9.5 juta daripada ahli perniagaan, Victor Chin, sebagai balasan bagi menyelesaikan isu berkaitan sindiket tersebut.

Selain itu, kumpulan berkenaan turut mempersoalkan sikap parti yang didakwa berdiam diri terhadap laporan siasatan berhubung pemilikan saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, yang menurut mereka belum didedahkan kepada umum.

Dalam kenyataan sama, mereka turut mendakwa PKR gagal mempertahankan agenda reformasi institusi apabila tidak menyatakan pendirian terhadap penggunaan Akta Hasutan yang didakwa digunakan untuk menyekat suara pengkritik kerajaan.

Isu kebebasan media turut dibangkitkan apabila mereka mendakwa PKR tidak mempertahankan wartawan Malaysiakini yang dikatakan menerima gangguan selepas melaporkan isu berkepentingan awam berkaitan Sistem Pengambilan Pekerja Asing.

Selain itu, mereka turut mempertikaikan pengendalian pertikaian dalam pemilihan parti yang menurut mereka telah menjejaskan keyakinan terhadap integriti demokrasi dalaman PKR.

“Kami menolak budaya mempertahankan parti secara membuta tuli ketika prinsip perjuangan semakin ditinggalkan,” menurut kenyataan tersebut.

Susulan peletakan jawatan itu, mereka memaklumkan Majlis Pimpinan Pusat Mahasiswa Keadilan Malaysia terbubar secara rasmi selaras dengan peruntukan Fasal 13.3 Perlembagaan MKM.

Menurut mereka, perlembagaan organisasi memperuntukkan MPP akan terbubar secara automatik sekiranya lebih daripada satu pertiga ahli meletakkan jawatan, sekali gus memerlukan pemilihan baharu diadakan melalui Mesyuarat Agung Khas MKM.

Walaupun tidak lagi bersama PKR, kumpulan tersebut menegaskan perjuangan meningkatkan kesedaran politik rakyat khususnya dalam kalangan anak muda akan diteruskan melalui platform bebas yang tidak terikat dengan mana-mana parti politik.

Tujuh pemimpin MKM yang mengumumkan peletakan jawatan ialah Ram Erfan Zur Nuqman selaku Pengerusi, Paarveen Ravindran, Ismail Hakim, Saw Zi Xuan, Khairunnabiha Baharin, Mohd Luqman Hakim Mohd Kamal dan Muhammad Danish Fitri Mohd Radzi.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *