Kemenangan Vijay Bukti Kebangkitan Politik Nilai dan Kepimpinan Muda – Muhammad Faiz

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) menyifatkan kemenangan C. Joseph Vijay bersama partinya, Parti Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK) dalam pilihan raya negeri Tamil Nadu baru-baru ini, sebagai satu manifestasi perubahan besar landskap politik semasa yang semakin cenderung kepada politik nilai, keadilan sosial dan kepimpinan generasi muda.

Setiausaha Agung Amanah, Muhammad Faiz Fadzil berkata, kejayaan pelakon popular India itu sehingga diangkat sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu membuktikan masyarakat, khususnya golongan muda, kini mula menolak politik berasaskan identiti sempit yang selama ini mendominasi sebahagian besar politik India.

Menurut beliau, kemenangan itu memberi isyarat jelas rakyat semakin memilih pendekatan politik yang lebih inklusif, progresif dan berorientasikan masa depan berbanding sentimen agama, kasta atau pengaruh wang.

“Amanah mengucapkan tahniah kepada C. Joseph Vijay dan partinya TVK atas kemenangan besar dalam pilihan raya negeri Tamil Nadu sehingga beliau diberi mandat sebagai Ketua Menteri.

“Kemenangan ini mencerminkan kemunculan pemikiran baharu dalam kalangan masyarakat, khususnya anak muda, yang lebih cenderung mendukung perjuangan berasaskan keadilan, keharmonian dan tadbir urus baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhammad Faiz berkata, perubahan corak sokongan itu memperlihatkan penolakan masyarakat terhadap politik identiti walaupun India terkenal sebagai sebuah negara yang politiknya sering dipengaruhi faktor kasta, agama dan kekuatan kewangan.

Beliau berkata, perkembangan tersebut juga wajar dijadikan iktibar kepada politik di Malaysia, terutama dalam usaha membina budaya politik lebih matang dan sederhana.

“Amanah berharap perubahan sikap golongan muda di India ini dapat menjadi inspirasi kepada anak muda di negara kita untuk lebih cenderung menyokong perjuangan berasaskan politik nilai yang menekankan prinsip keadilan sosial, integriti, progresif dan tadbir urus yang baik,” katanya.

Tambah beliau, prinsip rahmatan lil ‘alamin yang menjadi antara asas perjuangan Amanah menekankan pentingnya usaha memperkukuh keharmonian nasional tanpa meminggirkan hak mana-mana kaum.

Katanya, perjuangan mempertahankan hak orang Melayu dan pada masa sama menghormati hak kaum lain perlu terus diperkasakan dalam membina sebuah negara yang stabil dan inklusif.

Dalam pada itu, Muhammad Faiz turut melihat kemenangan Vijay sebagai petunjuk jelas pengundi kini mula memberikan kepercayaan kepada tokoh dan wajah baharu, khususnya daripada kalangan generasi muda, untuk memimpin negara dan negeri.

Menurutnya, trend tersebut harus diberi perhatian serius oleh semua parti politik termasuk Amanah dalam merangka hala tuju kepimpinan masa depan.

“Kemenangan ini memberi mesej rakyat mahu melihat lebih ramai pemimpin muda diketengahkan. Ia menjadi cabaran kepada Amanah dan parti-parti politik lain untuk lebih berani mencalonkan golongan muda dalam pilihan raya serta memberi ruang kepada mereka memimpin,” katanya.

Beliau menegaskan, keberanian melakukan perubahan dalam struktur kepimpinan politik amat penting bagi memastikan politik negara terus relevan dengan aspirasi generasi baharu yang semakin menuntut ketelusan, integriti dan kestabilan sosial.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *