Ronaldo tinggalkan Arab Saudi dengan jet RM320 juta?

RIYADH – Jet peribadi bernilai £61 juta (RM320 juta) milik Cristiano Ronaldo dilaporkan meninggalkan Arab Saudi, malam tadi, sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa bintang bola sepak itu mungkin sudah beredar susulan pertempuran antara Amerika Syarikat-Israel dan Iran yang semakin memuncak.

Riyadh, tempat Ronaldo tinggal bersama pasangannya Georgina Rodriguez dan lima anak mereka, dilaporkan menjadi sasaran serangan dron Iran ketika pertempuran memasuki hari keempat.

Malah, kemungkinan bintang Al-Nassr itu sudah meninggalkan Riyadh benar selepas Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) juga sudah menangguhkan aksi antara kelab itu menentang kelab Emiriah Arab Bersatu (UAE), Al-Wasl pada pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) yang dijadualkan Khamis ini, susulan konflik berkenaan.

Data penjejakan penerbangan menunjukkan jet Bombardier Global Express milik Ronaldo berlepas dari Riyadh pada jam 8 malam dan mendarat di Madrid hampir jam 1 pagi, melengkapkan perjalanan hampir tujuh jam.

Warga asing di seluruh Asia Barat dilaporkan mula meninggalkan rantau berkenaan susulan ketegangan yang semakin meningkat dan penerbangan mengejut Ronaldo itu menimbulkan kebimbangan yang semakin besar terhadap keselamatan di Arab Saudi.

Pagi tadi, Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) menggesa rakyat Amerika supaya “keluar sekarang” dari negara-negara di seluruh Asia Barat “berikutan risiko keselamatan yang serius.”

Hantaran di platform X (@CNN) oleh pegawai tertinggi hal ehwal konsular Jabatan Negara itu menyeru rakyat Amerika supaya berlepas “menggunakan perjalanan komersial yang tersedia” dari 14 negara iaitu Bahrain, Mesir, Iran, Iraq, Israel (Tebing Barat dan Gaza), Jordan, Kuwait, Lubnan, Oman, Qatar, Arab Saudi, Syria, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Yaman.

“Rakyat Amerika yang memerlukan bantuan Jabatan Negara untuk mengatur kepulangan melalui penerbangan komersial diminta menghubungi kami 24 jam di +1-202-501-4444 (dari luar negara) atau +1-888-407-4747 (dari AS dan Kanada). Daftar di http://step.state.gov untuk mendapatkan maklumat keselamatan terkini daripada kedutaan atau konsulat AS terdekat,” kata Penolong Setiausaha Hal Ehwal Konsular, Mora Namdar.

Mesej mendesak itu dikeluarkan ketika Iran melancarkan gelombang serangan ke atas negara-negara di seluruh Asia Barat – dengan banyak serangan mensasarkan aset Amerika Syarikat – sebagai tindak balas terhadap operasi ketenteraan Amerika Syarikat dan Israel.

Banyak negara terbabit sebelum ini telah menasihatkan rakyat Amerika supaya berlindung di lokasi masing-masing. – AGENSI

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *