ARAB SAUDI – Jurucakap Pengawal Revolusi Iran, Ali Mohammad Naini memberi amaran, pintu neraka akan terbuka semakin luas, detik demi detik ke atas Amerika Syarikat (AS) dan Israel.
Hari ini, dron menyerang Kedutaan AS di Riyadh, manakala beberapa letupan lain kedengaran di bandar-bandar Teluk ketika Iran membalas serangan dengan menyasarkan kemudahan industri dan diplomatik di seluruh Asia Barat.
Empat hari selepas serangan AS dan Israel yang membunuh pemimpin tertinggi Iran dan mencetuskan perang serantau, wartawan AFP melihat kesan asap dan kerosakan pada dinding serta bumbung kedutaan AS di ibu negara Arab Saudi itu.
Polis Saudi mengawal ketat kawasan diplomatik dan menutup beberapa jalan utama, manakala Kementerian Luar Saudi menyifatkan serangan itu sebagai kejam dan tidak berasas.
Di Bahrain dan Qatar, wartawan AFP melaporkan letupan dan siren kecemasan.
Tentera Iran pula mengumumkan mereka melancarkan serangan ke atas sasaran di Israel serta pangkalan udara utama AS di Al-Udeid, Qatar.
Qatar berkata, serangan ke atas lapangan terbangnya berjaya digagalkan.
Ketua hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Volker Turk pula berkata, beliau amat terkejut dengan kesan konflik terhadap orang awam, manakala badan pemantau nuklear PBB berkata, loji Natanz Iran, Natanz Fuel Enrichment Plant kelihatan mengalami kerosakan terkini berdasarkan imej satelit.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Di Tehran, letupan kuat dilaporkan sepanjang malam, manakala Presiden AS, Donald Trump memberi amaran konflik boleh berlanjutan selama berminggu-minggu atau berbulan-bulan.
Israel pula memaklumkan tenteranya kini mara ke kedudukan baharu di selatan Lubnan selepas Hizbullah melancarkan peluru berpandu sebagai tanda sokongan kepada Iran.
Di bandar-bandar Teluk dan pelabuhan Duqm di Oman, serangan Iran turut mengenai infrastruktur minyak dan gas, menyebabkan harga tenaga global meningkat untuk hari kedua berturut-turut.
Seorang pegawai kanan Pengawal Revolusi Iran, Sardar Jabbari memberi amaran mereka akan menyerang mana-mana kapal yang melalui Selat Hormuz.
Qatar pula menghentikan pengeluaran gas asli cecair (LNG), menyebabkan harga tenaga di Eropah melonjak. Syarikat QatarEnergy turut menghentikan pengeluaran beberapa produk berkaitan seperti urea, polimer, metanol dan aluminium.
Setakat ini, enam anggota tentera AS dilaporkan terkorban. Media Iran pula melaporkan ratusan mangsa termasuk pelajar sekolah, namun angka itu belum dapat disahkan secara bebas.
Agensi Hak Asasi Manusia (HRANA) yang berpangkalan di AS melaporkan 101 orang terbunuh di Iran pada hari ketiga perang, termasuk 85 orang awam dan 11 anggota tentera.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
