BAYAN LEPAS – Misteri bau busuk dari sebuah unit pangsapuri di Teluk Kumbar di sini, membawa kepada penemuan mayat dua beranak dalam keadaan rumah berkunci dari dalam, malam tadi.
Kejadian terbongkar selepas jiran yang curiga dengan bau kurang menyenangkan itu menghubungi pihak berkuasa sebelum polis meminta bantuan bomba untuk membuka pintu kediaman berkenaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.48 malam daripada polis.
Menurutnya, bantuan diperlukan bagi membuka pintu rumah yang berkunci dari dalam kerana dipercayai terdapat mangsa di dalam unit berkenaan.
“Pasukan bomba tiba di lokasi dan membuka pintu menggunakan peralatan khas dengan kerjasama anggota polis. Pemeriksaan lanjut menemui dua mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Seorang mangsa ditemui di ruang tamu, manakala seorang lagi di bilik tidur.
Kedua-dua mereka disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.
Mangsa dikenal pasti sebagai Lee Tet Khim, 72, dan anaknya, Lam Tong Hoong, 39.
Mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kematian. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.55 malam.
Setakat ini, pihak berkuasa belum mengeluarkan kenyataan berhubung sama ada terdapat unsur jenayah dalam kejadian berkenaan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L