Oleh NurFarhana Zulkeply
KUALA LUMPUR – Petisyen dalam talian yang menggesa pelarian etnik Rohingya di Malaysia dihantar pulang atau ditempatkan di negara ketiga terus mendapat perhatian apabila jumlah tandatangan melepasi 140,000 setakat petang Selasa.
Perkara itu dimaklumkan menerusi satu hantaran di Facebook yang memetik semakan di platform Change.org terhadap petisyen bertajuk “Remove Rohingya from Malaysia”.
Menurut hantaran itu, petisyen berkenaan memperoleh 140,423 tandatangan setakat jam 6.50 petang, dengan lebih 75,000 tandatangan direkodkan dalam tempoh 24 jam terakhir.
Petisyen yang dilancarkan pada 29 Mei lalu menyeru kerajaan merangka pelan menyeluruh bagi menangani isu pelarian Rohingya yang didakwa memberi kesan kepada masyarakat tempatan.
Penganjurnya, yang menggunakan nama Aku Anak Malaysia, mendakwa pertambahan jumlah pelarian berkenaan memberi tekanan kepada kemudahan awam, infrastruktur dan perkhidmatan sosial negara.
Menurut petisyen itu, situasi berkenaan turut mencetuskan kebimbangan apabila sumber yang terhad perlu dikongsi dengan jumlah penduduk yang semakin meningkat.
Penganjur turut membangkitkan implikasi ekonomi dan keselamatan, termasuk dakwaan peningkatan masalah sosial di kawasan penempatan pelarian yang padat.
Sehubungan itu, petisyen berkenaan menggesa kerajaan bekerjasama dengan badan antarabangsa bagi mencari penyelesaian jangka panjang, termasuk penempatan semula ke negara ketiga atau memperkukuh bantuan di wilayah asal mereka di Myanmar.
Menurut penganjur, walaupun aspek kemanusiaan perlu diberi perhatian, pendekatan sedia ada dianggap tidak lagi mampan dan memerlukan penyelesaian lebih seimbang demi menjaga kebajikan rakyat serta kestabilan negara.
NurFarhana Zulkeply adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L