Oleh Fatin Sajidah Fathuldin
JOHOR BAHRU — Kepakaran tenaga pengajar di TVETMARA Johor Bahru terus mendapat pengiktirafan industri apabila menerima kunjungan daripada Seagate International (Johor) Sdn. Bhd. bagi membincangkan pelaksanaan program pembangunan kompetensi tenaga kerja mahir melalui inisiatif Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH).
Kunjungan yang berlangsung pada Rabu itu memberi tumpuan kepada usaha mendapatkan khidmat kepakaran pensyarah TVETMARA Johor Bahru, khususnya dalam bidang elektrik, bagi melatih kakitangan syarikat berkenaan menerusi Program Penjaga Jentera Elektrik (A0).
Perbincangan rasmi tersebut diketuai Pengarah TVETMARA Johor Bahru, Ir. Ts. Dr. Mohd Nazif Mohd Baharuddin, yang turut membincangkan aspek pendaftaran, syarat kelayakan peserta serta persediaan latihan dan peperiksaan kompetensi yang perlu dilalui.
Menurut beliau, kerjasama antara institusi TVET dan industri merupakan platform penting dalam memastikan pembangunan modal insan sentiasa selari dengan keperluan semasa sektor perindustrian.
Dalam sesi tersebut, pihak Seagate menyatakan hasrat untuk menghantar kira-kira 30 kakitangan bagi mengikuti program PSH yang dijangka dilaksanakan pada Oktober ini atau mengikut kesediaan pihak TVETMARA Johor Bahru.
Pihak Seagate diketuai Ketua Jabatan Operasi Backend, Mohamad Johan Parjo, bersama Ketua Jabatan Fasiliti, Chai Chee Wui, Jurutera Kanan Fasiliti, Norasyidah Omar dan Penganalisis Kanan Business Excellence, Muzhaffar Mohd Zaki.
Turut hadir Timbalan Pengarah Hal Ehwal Akademik TVETMARA Johor Bahru, Ts. Dr. Azurin Shukur serta barisan pengurusan program di bawah Jabatan Elektrik institusi tersebut.
Selain bidang elektrik, kedua-dua pihak turut meneroka potensi kerjasama yang lebih luas melibatkan bidang elektronik, mekanikal serta sistem gas dan SCADA bagi memperkukuhkan lagi hubungan strategik antara institusi pendidikan teknikal dan sektor industri.
Dalam pertemuan itu, Mohd Nazif turut menyuarakan harapan agar kerjasama yang terjalin dapat diperluaskan melalui penglibatan Seagate dalam program kerjaya, sesi perkongsian industri dan aktiviti pembangunan pelajar.
Beliau juga melihat peluang besar untuk mewujudkan kerjasama dalam penempatan latihan industri melibatkan pensyarah teknikal serta pelajar TVETMARA Johor Bahru pada masa akan datang.
TVETMARA Johor Bahru merakamkan penghargaan kepada Seagate International (Johor) Sdn. Bhd. atas komitmen yang ditunjukkan dalam memperkukuh hubungan strategik antara institusi TVET dan industri, sekali gus menyokong usaha melahirkan tenaga kerja mahir yang kompeten serta memenuhi kehendak industri masa kini.
Fatin Sajidah Fathuldin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di Nasional Daily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L