Rohingya: Seimbang Kemanusiaan, Kedaulatan

Oleh NurFarhana Zulkeply

KUALA LUMPUR – Isu pelarian Rohingya perlu dinilai secara seimbang antara tuntutan kemanusiaan dan kepentingan kedaulatan negara, kata EXCO Wanita UMNO, Nurulhidayah Ahmad Zahid.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata, penderitaan etnik Rohingya akibat penindasan, peperangan dan kehilangan kewarganegaraan di Myanmar sememangnya wajar mendapat perhatian serta bantuan kemanusiaan.

Namun, katanya, bantuan tersebut tidak boleh dianggap sebagai hak untuk memperoleh penempatan tetap atau kewarganegaraan di mana-mana negara.

“Tiada mana-mana kumpulan pelarian mempunyai hak untuk menuntut penempatan tetap atau kewarganegaraan di sesebuah negara. Itu adalah hak eksklusif kerajaan untuk memutuskan berdasarkan undang-undang, kapasiti ekonomi, keselamatan dan kepentingan rakyat tempatan,” katanya.

Menurut Nurulhidayah, Malaysia telah lama menunjukkan sikap terbuka dengan menerima kehadiran pelarian Rohingya atas dasar kemanusiaan, namun perkara itu tidak bermakna negara wajib menyediakan penempatan tetap kepada mereka.

Beliau berkata, kebimbangan rakyat berhubung tekanan terhadap kemudahan awam, persaingan pekerjaan berpendapatan rendah, isu keselamatan dan beban sosial perlu diambil kira dalam sebarang pertimbangan dasar berkaitan pelarian.

“Jika benar terdapat tuntutan bahawa Malaysia wajib memberikan penempatan tetap kepada Rohingya, maka tuntutan itu tidak wajar kerana ia menyentuh soal kedaulatan negara,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa pelarian boleh memohon perlindungan dan bantuan, tetapi keputusan sama ada untuk memberikan status kekal atau sebaliknya terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa kerajaan Malaysia.

Nurulhidayah berkata, pandangan itu bukan bertujuan menimbulkan sentimen kebencian terhadap mana-mana pihak, sebaliknya mengajak rakyat menilai kemampuan negara dalam mengurus implikasi jangka panjang dasar penempatan pelarian.

“Bersimpati kepada penderitaan Rohingya adalah sifat kemanusiaan yang wajar. Tetapi mempertahankan hak Malaysia untuk menentukan siapa yang boleh menetap secara kekal di negara ini adalah isu kedaulatan yang penting,” katanya.

NurFarhana Zulkeply adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *