Oleh Siti Khadijah Manudin
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan terus melaksanakan langkah berhemah bagi menangani tekanan kos sara hidup rakyat susulan cabaran ekonomi global yang semakin mencabar.
Menurut beliau, pelbagai faktor antarabangsa termasuk ketidaktentuan geopolitik, perubahan iklim serta perkembangan pesat teknologi memberi kesan langsung kepada ekonomi negara.
“Dalam mendepani cabaran ini, negara perlu merangka hala tuju yang bijaksana melalui dasar yang mampan serta langkah praktikal bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan.
Anwar turut memberi jaminan bahawa program bantuan bersasar, jaringan keselamatan sosial serta akses kesihatan dan pendidikan akan terus diperkukuh.
Beliau berkata antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk penyasaran subsidi dan program bantuan seperti Budi Madani, selain usaha memperkukuh sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta transformasi digital negara.
Katanya lagi, ekonomi Malaysia masih menunjukkan prestasi positif dengan pelaburan domestik dan asing yang meningkat serta kadar pengangguran yang kekal rendah.
Siti Khadijah Manudin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L