55 rakyat Malaysia belum dapat dihubungi susulan bencana Nepal, China – Wisma Putra

KUALA LUMPUR – Rekod semasa Kementerian Luar kekal seramai 55 rakyat Malaysia belum dapat dihubungi susulan banjir dan tanah runtuh di Nepal dan China, manakala usaha untuk mendapatkan kepastian mengenai status setiap individu terus dilaksanakan. 

Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang kembali dari Nepal pada Isnin, akan memberikan taklimat kepada kementerian mengenai penugasan serta maklumat diperoleh sepanjang operasi di lapangan.

Sepanjang penugasan, SMART melaksanakan aktiviti pencarian di kawasan yang boleh diakses dengan selamat dan dibenarkan oleh pihak berkuasa Nepal.

Pencarian itu termasuk operasi di darat serta tinjauan udara menggunakan dron, manakala maklumat diperoleh akan diteliti oleh Wisma Putra bersama agensi Malaysia berkaitan bagi menentukan tindakan susulan bersesuaian.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

Wisma Putra menegaskan, berakhirnya penugasan SMART di lapangan tidak bermakna usaha untuk mendapatkan kepastian mengenai status rakyat Malaysia terbabit telah tamat dan tidak mengubah status semasa mereka.

“Semua 55 rakyat Malaysia itu kekal direkodkan sebagai belum dapat dihubungi sementara proses berkaitan bagi menentukan status setiap individu terus dilaksanakan,” menurut kementerian.

Berdasarkan maklumat terkini dari Nepal, pihak berkuasa negara itu terus melakukan usaha pencarian, pengesahan dan pengecaman susulan bencana berkenaan.

Sebagai sebahagian daripada sokongan Malaysia terhadap usaha tindak balas bencana Nepal, SMART turut memberikan latihan pengendalian dron kepada anggota penyelamat Nepal dan menyerahkan sembilan dron kepada kerajaan Nepal melalui National Disaster Risk Reduction and Management Authority (NDRRMA).

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Tindakan susulan Malaysia di Nepal akan diteruskan melalui Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu yang akan mendapatkan maklumat secara langsung daripada NDRRMA dan pihak berkuasa Nepal berkaitan.

Kedutaan Besar juga akan membuat semakan dengan hospital serta agensi berkaitan, selain melaksanakan semakan atau lawatan susulan sekiranya keadaan keselamatan mengizinkan serta setelah mendapat kelulusan pihak berkuasa Nepal.

Di China, Kedutaan Besar Malaysia di Beijing akan terus berhubung dengan pihak berkuasa China yang berkaitan mengenai rakyat Malaysia terjejas akibat bencana itu serta sebarang maklumat dapat membantu dalam menentukan status mereka.

Wisma Putra berkata, kementerian memahami kebimbangan dalam kalangan keluarga yang masih menantikan kepastian mengenai insan tersayang dan kekal berhubung secara langsung dengan waris terdekat.

Menurut kementerian, sekiranya terdapat perkembangan yang telah disahkan mengenai status seseorang rakyat Malaysia, waris terdekat akan dimaklumkan terlebih dahulu sebelum sebarang pengumuman dibuat kepada umum.

Kementerian turut menggesa orang ramai dan pihak media supaya menghormati privasi keluarga terlibat serta tidak membuat spekulasi mengenai mana-mana individu yang statusnya belum dapat disahkan.

“Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan berdasarkan maklumat yang telah disahkan melalui saluran rasmi,” menurut kementerian. – BERNAMA

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *