PENGKALAN CHEPA (KOTA BHARU) – Suasana hiba menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Sri Kedeper, Pengkalan Chepa, apabila jenazah pegawai perubatan, Allahyarhamah Dr. Ainul Baraah Kamarudin, 33, selamat dikebumikan pada jam 2.20 petang semalam.
Pemergian Allahyarhamah bukan sahaja kehilangan besar buat keluarga, malah mengundang kesedihan dalam kalangan rakan seperjuangan serta rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan tragedi nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Miri, Sarawak.
Sebelum disemadikan, jenazah Allahyarhamah terlebih dahulu disolatkan di Masjid Al Karomah Mukim Baung Besar, Pengkalan Chepa dalam suasana penuh hiba.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad turut hadir memberikan penghormatan terakhir dengan mengiringi jenazah ke tanah perkuburan.
Beliau sebelum itu mengimamkan solat jenazah yang dihadiri kira-kira 1,000 jemaah.
Laungan takbir dan doa yang mengiringi perjalanan terakhir Allahyarhamah menjadi saksi betapa ramai yang hadir untuk mengucapkan selamat jalan kepada seorang petugas kesihatan yang pergi dalam tragedi ketika menjalankan tugas.
Namun, di sebalik ribuan mata yang hadir untuk memberikan penghormatan terakhir, ada seorang insan yang menanggung kehilangan paling berat.
Suami Allahyarhamah, Muhammad Faiz Abdul Malik, 37, kini terpaksa meneruskan kehidupan tanpa insan yang selama ini menjadi teman hidupnya.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Dengan suara yang sarat kesedihan, Muhammad Faiz merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu mempermudahkan urusan mereka sekeluarga, termasuk kerajaan Sarawak.
Katanya, walaupun tragedi itu tidak mungkin diubah, segala urusan perjalanan pulang jenazah dipermudahkan hasil sokongan dan doa daripada pelbagai pihak.
“Tak ada nak cakap dah, takdir sudah terjadi. Tapi Alhamdulillah, perjalanan dipermudahkan. Saya dapat sokongan dan doa daripada semua kawan-kawan yang kenal serta tak kenal termasuk media.
“Ini satu rezeki untuk isteri saya sebab mendapat doa dan sokongan daripada seluruh rakyat Malaysia.”
Ringkas kata-katanya, namun tersirat rasa kehilangan yang begitu besar.
Di saat seluruh negara mengiringi pemergian Allahyarhamah dengan doa, seorang suami terpaksa menerima hakikat selepas hari itu, kehidupan yang dilalui bersama isterinya hanya akan tinggal sebagai kenangan.
Dr. Ainul Baraah adalah antara lima mangsa yang terkorban dalam nahas helikopter FDS di Long Lellang, Miri, Selasa lalu.
Tragedi itu turut meragut nyawa juruterbang, Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30; Penolong Pegawai Perubatan Adit Henry, 31; serta dua jururawat, Debra Moset, 40; dan Jessie Paya Jok, 44.
Proses pengecaman identiti serta analisis keputusan ujian DNA mengambil sedikit masa sebelum jenazah Allahyarhamah akhirnya dapat dibawa pulang ke Kelantan untuk disemadikan di tanah kelahirannya.
Bagi keluarga, penantian itu akhirnya berakhir. Namun, bagi Muhammad Faiz, kepulangan jenazah isterinya bukanlah pengakhiran sebuah perjalanan.
Sebaliknya, ia menandakan bermulanya perjalanan yang jauh lebih sukar, meneruskan kehidupan tanpa wanita yang selama ini berada di sisinya.
“Saya reda, cuma sekejap-sekejap teringat”, kata Muhammad Faiz mengakui dirinya reda dengan pemergian isteri tercinta.
Namun, reda tidak bermakna rasa kehilangan itu hilang.
Kerinduan tetap datang, kadangkala tanpa diundang. Kenangan pula boleh muncul pada bila-bila masa, membawa kembali wajah, suara dan detik-detik yang pernah dikongsi bersama.
“Saya boleh kata reda, cuma sekejap-sekejap ia datang teringat dan rindu, tak boleh tahan sedih,” katanya.
Kata-kata itu mungkin sederhana, tetapi cukup menggambarkan hakikat yang perlu dilalui seorang insan yang kehilangan pasangan hidup.
Dr Ainul Baraah pergi dalam usia muda dan ketika khidmat serta tenaganya masih diperlukan.
Namun, pengorbanannya sebagai petugas kesihatan akan terus dikenang, khususnya oleh mereka yang pernah mengenali dan bekerja bersamanya.
Pemergian beliau dalam tragedi ketika menjalankan tugas menjadi satu lagi peringatan mengenai pengorbanan petugas barisan hadapan yang sanggup berada jauh daripada keluarga demi melaksanakan tanggungjawab.
Semoga Allah SWT mengampuni segala dosa Allahyarhamah, menerima segala amal kebajikan, melimpahkan rahmat-Nya serta menempatkan beliau dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
