KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh tidak langsung Velesto Energy Bhd (VEB), Velesto Drilling Sdn Bhd, memperoleh kontrak bernilai AS$157 juta (RM610.22 juta) daripada Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) bagi penyediaan pelantar penggerudian jenis jack-up untuk tempoh kontrak PCSB 2026-2030.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, penyedia perkhidmatan penggerudian minyak dan gas itu berkata Velesto Drilling ialah anak syarikat milik penuh Velesto Malaysian Ventures Sdn Bhd, yang juga merupakan anak syarikat milik penuh VEB.
Menurut VEB, pelantar NAGA 2 akan ditugaskan menerusi Velesto Drilling bagi melaksanakan kontrak penggerudian PCSB bermula Februari 2026 sehingga 2030.
NAGA 2 ialah pelantar penggerudian jenis jack-up cantilever berkaki bebas dengan keupayaan penggerudian sehingga 30,000 kaki serta mampu beroperasi pada kedalaman air sehingga 350 kaki.
“Kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan sepanjang tempoh kontrak,” menurut syarikat itu.
Presiden VEB, Megat Zariman Abdul Rahim, berkata penganugerahan kontrak berkenaan menandakan satu pencapaian penting bagi syarikat serta permulaan kukuh bagi tahun 2026.
Beliau berkata tempoh keterlibatan selama lima tahun bagi NAGA 2 mencerminkan kemajuan berterusan syarikat dalam memaksimumkan penggunaan aset teras serta mengukuhkan keterlihatan pendapatan.
“Kami menghargai kepercayaan diberikan kepada Velesto dan kekal komited untuk memberikan operasi yang selamat dan prestasi konsisten sepanjang tempoh kontrak itu.
“Kontrak ini seiring dengan tumpuan kumpulan ini terhadap pelaksanaan yang berdisiplin merentasi pasaran operasinya di Asia Tenggara dan Malaysia,” katanya dalam kenyataan berasingan kepada Bursa Malaysia. – BERNAMA
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: Nasional Daily
Iklan: Admin / Sales / 012-9222001
Whatsapp: Nasional Daily