BRUSSELS – Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, berkata Phnom Penh mahu meredakan ketegangan dan mencari penyelesaian secara aman terhadap konflik sempadan dengan Thailand.
Ia selepas Bangkok minggu ini mendakwa negara jirannya melanggar gencatan senjata Disember lalu.
Pertikaian sempadan berlarutan sejak beberapa dekad antara dua negara Asia Tenggara itu tercetus dengan beberapa pusingan pertempuran tahun lalu, mengorbankan puluhan nyawa serta memaksa lebih sejuta penduduk berpindah pada Julai dan Disember.
“Kami tidak ingin meningkatkan ketegangan. Kami mahu ketegangan ini diredakan. Kami mahu hidup bersama secara aman,” katanya kepada AFP dalam wawancara bersama media di Brussels.
Tentera Thailand mendakwa pasukan Kemboja melepaskan bom tangan berhampiran kawasan rondaan Thailand pada Selasa, sekali gus mencetuskan tembakan balas – dakwaan yang dinafikan Phnom Penh.
Kemboja mendakwa pasukan Thailand menakluki beberapa kawasan di wilayah sempadan dan menuntut pengunduran segera.
Bangkok pula menegaskan pihaknya hanya merampas semula tanah yang juga sebahagian daripada wilayah Thailand dan didakwa diduduki rakyat Kemboja sejak sekian lama.
Hun Manet enggan menyatakan keluasan tanah yang dirampas, namun berkata pasukan Thailand mara jauh melepasi apa yang diakui Bangkok sebagai garis sempadan antara kedua-dua negara.
Ditanya sama ada pasukan Kemboja akan berperang untuk merampas semula wilayah yang hilang, katanya pihaknya sentiasa berpegang kepada usaha meredakan ketegangan dan penyelesaian secara aman.
Konflik sempadan yang berusia lebih seabad itu berpunca daripada pertikaian mengenai persempadanan era penjajahan Perancis bagi sempadan sepanjang 800 kilometer antara kedua negara.
Phnom Penh memohon bantuan Perancis serta akses kepada dokumen dan peta sejarah dalam usaha menyelesaikan isu itu, selain menggesa Suruhanjaya Sempadan Bersama menyambung semula tugasnya.
Hun Manet berkata, Kemboja bersedia menerima apa jua keputusan dan berharap Thailand juga sama.
Perdana menteri berusia 48 tahun itu, yang mengambil alih jawatan daripada bapanya, Hun Sen, pada 2023, berkata beliau bimbang dengan situasi sempadan semasa yang disifatkannya sebagai ‘tidak stabil’ dan ‘rapuh.’
Beliau ketika pertemuan bersama media berada di ibu negara Belgium dan Kesatuan Eropah itu sebagai sebahagian lawatan untuk mengukuhkan sokongan diplomatik, yang turut membawanya ke Washington dan Geneva.
Di Brussels, beliau bertemu Presiden Majlis Eropah, Antonio Costa, serta diplomat tertinggi Kesatuan Eropah, Kaja Kallas. – AFP
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L