Dari Meja Editorial
ISU pembinaan rumah ibadat di atas tanah milik persendirian bukanlah perkara baharu dalam landskap masyarakat majmuk negara ini.
Namun, setiap kali ia timbul, polemik yang tercetus sering kali meleret menjadi perdebatan sensitif yang menyentuh soal agama, hak milik dan hubungan antara kaum.
Dalam suasana sebegini, pendekatan paling wajar dan rasional adalah menyerahkan penyelesaian kepada undang-undang.
Undang-undang wujud sebagai garis pemisah yang adil antara hak dan tanggungjawab. Dalam konteks pembinaan kuil atau mana-mana rumah ibadat di atas tanah persendirian, prinsip asasnya mudah: hak milik tanah perlu dihormati.
Pemilik tanah mempunyai hak yang dilindungi oleh undang-undang, sama ada tanah itu milik individu, syarikat atau kerajaan. Sebarang pembinaan tanpa kebenaran bukan sahaja melanggar peraturan, malah berpotensi mencetuskan konflik yang lebih besar.
Tiada siapa mahu tanah miliknya diceroboh, apatah lagi jika melibatkan struktur kekal seperti rumah ibadat. Pada masa sama, keperluan penganut agama untuk mempunyai tempat beribadat juga wajar dihormati.
Justeru, keseimbangan antara kedua-dua hak ini hanya boleh dicapai melalui proses yang sah, sama ada dengan mendapatkan kebenaran bertulis, membuat pembelian tanah secara rasmi atau memohon kelulusan pihak berkuasa tempatan.
Dalam hal ini, komunikasi awal dan ketelusan amat penting. Pihak yang berhasrat membina kuil sepatutnya memohon atau sekurang-kurangnya memaklumkan kepada pemilik tanah mengenai hasrat tersebut.
Langkah ini bukan sekadar memenuhi tuntutan undang-undang, malah menunjukkan sikap hormat dan toleransi yang menjadi tunjang kehidupan masyarakat berbilang kaum.
Kegagalan mematuhi prosedur bukan sahaja membuka ruang kepada tindakan undang-undang, tetapi juga mudah dimanipulasi oleh pihak berkepentingan untuk meniup sentimen perkauman.
Apa yang sepatutnya menjadi isu teknikal berkaitan pemilikan tanah dan kelulusan pembinaan boleh bertukar menjadi polemik agama yang meretakkan hubungan masyarakat.
Dalam konteks ini, ada pihak berpandangan, pendekatan yang diamalkan dalam pembinaan masjid boleh dijadikan contoh. Lazimnya, pembinaan masjid didahului dengan proses pembelian tanah atau pewartaan tapak secara sah sebelum sebarang struktur didirikan.
Proses ini memastikan tiada pertikaian hak milik timbul pada masa hadapan. Prinsip sama boleh diguna pakai dalam pembinaan rumah ibadat agama lain, bukan atas dasar perbandingan agama, tetapi atas asas pematuhan kepada undang-undang dan penghormatan terhadap hak milik.
Kita tidak boleh hanya berasaskan andaian sesuatu lokasi itu sesuai, lalu mendirikan struktur tanpa persetujuan pemiliknya. Tindakan sedemikian, walau dengan niat baik sekalipun, tetap melanggar batas perundangan. Dalam negara hukum, niat tidak mengatasi prosedur.
Akhirnya, penyelesaian terbaik bukanlah melalui tekanan emosi, demonstrasi atau perdebatan terbuka yang berpanjangan. Jalan yang lebih matang ialah membiarkan proses undang-undang berjalan dan menggalakkan dialog yang berhemah antara pihak terlibat.
Hanya dengan menghormati hak milik, mematuhi peraturan dan mengutamakan toleransi, isu sensitif seperti ini dapat diselesaikan tanpa menjejaskan keharmonian nasional.
Dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, keharmonian bukan datang daripada memenangi pertikaian, tetapi daripada kesediaan semua pihak untuk tunduk kepada undang-undang yang sama. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
