PEKAN : Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri berjaya menumpaskan sebanyak 304 kes berkaitan kesalahan hutan termasuk melakukan sejumlah 491 tangkapan yang membabitkan warga tempatan dan asing di Semenanjung Malaysia sepanjang tahun 2025.
Ketua Pengarah JPSM, Datuk Zahari Ibrahim berkata, sebanyak 75 kes dikesan melalui aktiviti rondaan secara berjadual dengan kerjasama anggota Unit Penguatkuasa daerah dan negeri.
“Kita melakukan 491 tangkapan sepanjang tahun lalu membabitkan 447 warga tempatan dan 44 warga asing. Kesemua tangkapan ini telah diambil tindakan di bawah akta dan perundangan jabatan ini.
“Antara warga asing yang ditangkap melibatkan, seramai 13 warga Myanmar, Indonesia (11), Bangladesh (6), Vietnam (3), China (3), Kemboja (2), Kenya (2) dan Pakistan (2),” katanya pada Majlis Flag-Off Operasi Bersepadu Penguatkuasaan JPSM dengan Jabatan Perhutanan Negeri, ‘OPS LIMAU 2026’ sempena musim perayaan Tahun Baru Cina, di sini hari ini.
Beliau berkata, Ops Limau 2026 dilaksanakan bermula 11 hingga 27 Februari 2026, melibatkan kerjasama strategik antara JPSM dan Jabatan-jabatan Perhutanan Negeri melalui pelaksanaan rondaan bersepadu, pemantauan berterusan serta tindakan penguatkuasaan yang lebih menyeluruh dan sistematik di lapangan.
Katanya, pelaksanaan operasi itu adalah sebagai langkah proaktif susulan peningkatan permintaan terhadap hasil hutan, khususnya kayu balak dan produk berasaskan kayu, yang lazimnya berlaku menjelang musim perayaan dan berpotensi meningkatkan risiko pelanggaran undang-undang perhutanan.
“Operasi ini bukan sahaja bertujuan memastikan aktiviti pengeluaran, pengangkutan dan perdagangan hasil hutan dilaksanakan secara sah dan mematuhi peraturan semasa, malah turut berperanan dalam membendung aktiviti pembalakan haram serta penyeludupan hasil hutan sepanjang musim perayaan.
“Pelaksanaan Ops Limau 2026 juga mencerminkan komitmen berterusan kerajaan khususnya JPSM dalam menyokong agenda Kerajaan MADANI, khususnya dalam memperkukuh tadbir urus, integriti serta pengurusan sumber asli secara mampan demi kepentingan generasi kini dan akan datang selain melindungi khazanah hutan negara yang bernilai tinggi,” katanya.
Zahari berkata lagi, melalui pendekatan operasi bersepadu ini, JPSM turut memperkukuh penyelarasan antara peringkat Persekutuan dan Negeri, di samping memperkasakan peranan. penguatkuasaan sebagai tunjang utama dalam pemeliharaan dan kelestarian sumber hutan negara.
Katanya, pemeliharaan hutan bukan sahaja tanggungjawab Kerajaan, malah memerlukan sokongan semua pihak termasuk pemain industri, komuniti setempat dan masyarakat umum.
Ujarnya, dalam hal ini, orang ramai digalakkan untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan melalui saluran rasmi JPSM bagi membantu usaha membanteras aktiviti haram.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L