LUMAJANG (Jawa Timur) – Gunung Semeru di Indonesia meletus dua kali semalam, dengan letusan terbaharu memuntahkan lajur abu setinggi kira-kira 700 m dari puncaknya.
Menurut laporan Agensi Berita Antara, letusan terbaharu berlaku pada jam 7.20 pagi waktu tempatan di kawasan gunung berapi yang terletak di sempadan daerah Lumajang dan Malang, Jawa Timur itu.
Pegawai Pos Pemerhatian Gunung Semeru, Mukdas Sofian berkata, lajur abu tebal berwarna putih ke kelabu dikesan bergerak ke arah tenggara.
“Lajur letusan yang diperhatikan mencapai sekitar 700 m di atas puncak atau 4,376 m dari aras laut,” katanya.
Beliau berkata, aktiviti letusan tersebut direkodkan pada seismograf dengan amplitud maksimum 22 milimeter dan tempoh selama 115 saat.
Letusan berkenaan menyusuli satu letusan awal yang berlaku pada jam 4.47 pagi waktu tempatan, dengan lajur abu setinggi 500 m, tempoh 123 saat dan amplitud maksimum 20 milimeter.
Gunung Semeru ketika ini berada pada Tahap Amaran III, justeru Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) menguatkuasakan larangan terhadap semua aktiviti di sektor tenggara sepanjang Besuk Kobokan dalam radius 13 km dari puncak.
Selain itu, orang ramai dinasihatkan menjauhi kawasan tebing sungai di sepanjang Besuk Kobokan sekurang-kurangnya 500 m berikutan risiko aliran awan panas dan aliran lava yang boleh menjangkau sehingga 17 km dari puncak.
“Sebarang aktiviti dalam radius lima kilometer dari kawah atau puncak Gunung Semeru juga dilarang berikutan risiko lontaran batu,” katanya.
PVMBG mengingatkan orang ramai berwaspada kemungkinan aliran awan panas, lava serta lahar sepanjang sungai dan lembah yang berpunca dari puncak Gunung Semeru, khususnya di kawasan Besuk Kobokan, Besuk Bang, Besuk Kembar dan Besuk Sat, termasuk sungai kecil mengalir ke Besuk Kobokan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L