IPOH – Seorang lelaki maut selepas van dinaikinya terbakar dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kampung Batu 40 Lempur, Manong dekat Kuala Kangsar petang semalam.
Pemangku Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 3.16 petang sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar digegaskan ke lokasi kejadian.
“Kemalangan itu masing-masing melibatkan sebuah van jenis Nissan Vanette, lori satu tan jenis Hino, kereta Honda Civic dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Wish.
“Ketua operasi memaklumkan terdapat seorang mangsa di dalam van yang sedang terbakar serta terdapat mangsa yang dikeluarkan orang awam dari kenderaan sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mangsa di dalam van iaitu lelaki berusia 32 tahun disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan (KKM), manakala dua lagi penumpang van masing-masing lelaki berusia 16 dan 19 tahun mengalami kecederaan.
Shazlean berkata mangsa di dalam lori satu tan turut cedera, manakala lima lagi mangsa daripada dua kenderaan lain dilaporkan tidak mengalami kecederaan.
Operasi tamat sepenuhnya jam 5.55 petang, manakala mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
