PRK Kinabatangan, Lamag: Kemenangan BN Kukuhkan Mandat Rakyat, Naim Moktar Janji Terus Bela Kepentingan Masyarakat

KINABATANGAN – Kemenangan Mohd Kurniawan Naim Moktar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan malam tadi, disifatkan sebagai bukti keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan Barisan Nasional (BN) dalam meneruskan agenda pembangunan serta kestabilan politik di kawasan berkenaan.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kinabatangan itu menegaskan, mandat besar diberikan oleh pengundi bukan sekadar kemenangan politik, sebaliknya satu amanah rakyat yang menuntut komitmen berterusan untuk memperjuangkan kebajikan dan pembangunan masyarakat setempat.

Menurut beliau, kejayaan mempertahankan kerusi tradisi BN itu turut didorong oleh sokongan padu kepimpinan parti serta kerjasama erat jentera Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri dan pusat.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor atas sokongan dan kepercayaan diberikan. Kemenangan ini adalah hasil kerja berpasukan dan semangat muafakat jentera parti,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada jentera BN, rakan-rakan parti dalam Kerajaan Perpaduan Sabah serta seluruh pengundi Kinabatangan yang disifatkannya sebagai tonggak utama kejayaan demokrasi di kawasan itu.

“Mandat ini datang dengan tanggungjawab yang besar. Saya beriltizam untuk bekerja keras, mendengar suara rakyat dan memastikan setiap dasar serta inisiatif yang dilaksanakan memberi manfaat langsung kepada masyarakat Kinabatangan,” katanya.

Sementara itu, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, Mohd Ismail Ayob menyifatkan kemenangannya sebagai isyarat jelas keinginan rakyat untuk melihat kesinambungan khidmat bakti yang lebih tersusun dan berkesan melalui saluran rasmi legislatif.

Beliau berkata, mandat yang diterima akan digunakan sepenuhnya untuk membawa suara rakyat Lamag ke persidangan DUN, selain memperkukuh usaha pembangunan komuniti yang sebelum ini digerakkan melalui platform pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Pilihan raya telah berakhir. Kini masanya untuk kita merapatkan semula hubungan, mengetepikan perbezaan dan bergerak sebagai satu pasukan demi kemajuan Lamag,” katanya.

Dalam PRK Parlimen Kinabatangan, Mohd Kurniawan Naim mencatat kemenangan bergaya dengan majoriti 14,214 undi, menewaskan calon Parti Warisan, Datuk Saddi Abdul Rahman dan calon Bebas, Goldam Hamid.

Bagi DUN Lamag pula, Mohd Ismail memperoleh majoriti 5,681 undi menewaskan calon Warisan, Mazliwati Abdul Malek.

PRK itu diadakan susulan pemergian penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, pada 5 Disember lalu, sekali gus menandakan lembaran baharu landskap politik di Kinabatangan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *