Dari Meja Editorial
KENYATAAN pimpinan DAP yang menegaskan parti itu tidak gentar berdepan UMNO dan bersedia untuk menggempur pada bila-bila masa perlu ditafsir secara cermat dalam konteks persaingan politik demokrasi, bukannya sebagai retorik kosong atau ancaman bersifat fizikal.
Ungkapan tersebut, seperti yang dijelaskan oleh Ketua DAP cawangan Wangsa Permai Kepong, Muhammad Najmi Samsudin, jelas bertujuan membina keyakinan dalaman parti serta menghantar mesej kepada pengundi bahawa DAP kini berada dalam fasa politik yang lebih berani, tersusun dan bersedia mencabar dominasi tradisi UMNO, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu dan generasi muda.
Penegasan bahawa DAP “bukan mahu berperang”, tetapi bersedia menggempur, membawa makna simbolik yang besar. Ia mencerminkan perubahan strategi DAP dari sekadar bertahan terhadap serangan persepsi sebagai parti cauvinis kepada pendekatan lebih ofensif, iaitu menormalisasikan DAP sebagai sebahagian daripada arus perdana politik nasional.
Dengan menampilkan ahli Melayu sebagai jurucakap utama, DAP cuba memecahkan tembok psikologi yang sekian lama memisahkan parti itu daripada sokongan Melayu, sambil menafikan dakwaan DAP adalah musuh kepada UMNO dan orang Melayu secara keseluruhan.
Pada masa sama, rujukan berulang terhadap kerjasama dalam Kerajaan MADANI dan dakwaan DAP pernah berkorban untuk UMNO, termasuk pemberian kerusi DUN, merupakan usaha halus untuk mengikat UMNO secara moral.
Naratif ini membawa implikasi sebarang serangan keras UMNO terhadap DAP boleh ditafsir sebagai tidak tahu mengenang budi atau tidak konsisten dalam prinsip kerjasama.
Di sinilah letaknya cabaran sebenar kepada UMNO, iaitu bagaimana untuk mempertahankan identiti dan asas perjuangan parti tanpa terperangkap dalam perang persepsi yang akhirnya menguntungkan lawan.
Reaksi UMNO terhadap kenyataan sebegini tidak boleh bersifat tergesa-gesa atau emosional. Dalam landskap politik semasa yang semakin matang dan dipantau rapat oleh pengundi muda, pendekatan konfrontasi terbuka yang sarat dengan retorik permusuhan hanya akan mengukuhkan lagi imej DAP sebagai parti yang berani, rasional dan progresif, manakala UMNO pula berisiko dilihat sebagai defensif dan terperangkap dengan politik lama.
Hakikatnya, kerjasama dalam kerajaan perpaduan tidak pernah menuntut keseragaman ideologi dan UMNO wajar menegaskan perbezaan prinsip serta hala tuju politik adalah sesuatu yang sah dan sihat dalam sistem demokrasi.
Usaha DAP untuk menggerakkan ahli-ahlinya ke seluruh negara bagi mendekati pengundi muda juga tidak boleh dipandang ringan. Ini bukan sekadar kenyataan simbolik, tetapi petunjuk kepada strategi jangka panjang DAP untuk menembusi kawasan-kawasan yang sebelum ini dianggap sebagai kubu UMNO.
Dengan menekankan mesej bahawa DAP bukan ancaman kepada Melayu dan politik perkauman sempit sudah tidak relevan, DAP cuba memposisikan UMNO sebagai parti yang ketinggalan zaman jika gagal menyesuaikan diri dengan realiti baharu.
Cabaran ini menuntut UMNO untuk tampil dengan pendekatan yang lebih substantif, berfokus kepada penyelesaian masalah rakyat, bukan sekadar mempertahankan kedudukan sejarah.
Pada masa sama, UMNO juga perlu berhati-hati agar tidak terjebak dalam naratif DAP sebagai punching bag yang disebut sendiri oleh pimpinan DAP.
Strategi menyerang tanpa henti mungkin memuaskan emosi penyokong tegar, tetapi dalam jangka panjang ia berisiko melemahkan kepercayaan pengundi atas pagar yang lebih menilai keupayaan mentadbir dan kestabilan negara.
Pendekatan yang lebih berkesan ialah dengan membezakan antara kritikan terhadap dasar dan kritikan terhadap kewujudan parti serta menegaskan persaingan politik tidak semestinya bermakna permusuhan total.
Akhirnya, kenyataan DAP mengenai kesediaan untuk menggempur UMNO harus dilihat sebagai isyarat, medan politik negara semakin terbuka dan kompetitif.
UMNO tidak perlu takut dengan cabaran ini, tetapi juga tidak perlu menyambutnya dengan api.
Dalam demokrasi, kekuatan sebenar bukan terletak pada siapa yang paling lantang atau agresif, tetapi pada siapa yang paling diyakini rakyat untuk memimpin dengan stabil, adil dan berprinsip.
Jika UMNO mampu membaca isyarat ini dengan tenang dan strategik, maka apa jua gempuran akan kekal sebagai pertandingan idea yang akhirnya ditentukan oleh kebijaksanaan pengundi, bukan oleh retorik semata-mata. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
