3 kanak-kanak bakar lelaki gelandangan bagi tingkatkan tontonan TikTok

BANGKOK – Polis Thailand mengenal pasti tiga kanak-kanak berusia antara sembilan hingga 15 tahun sebagai suspek dalam kes pembakaran seorang lelaki gelandangan di bawah jambatan di Bangkok.

Serangan yang dirakam salah seorang daripada mereka dan dikongsi dalam talian, menimbulkan kemarahan meluas dalam kalangan masyarakat serta persoalan baharu mengenai keganasan remaja.

Mangsa, hanya dikenali sebagai Karn, 51, cedera tetapi terselamat daripada serangan itu.

Beliau mencari rezeki dengan mengutip barangan kitar semula dan tinggal di bawah Jambatan Ban Ma di daerah Prawet, Bangkok.

“Ketika sedang tidur di situ, saya tiba-tiba terasa cecair sejuk dituang pada badan. Beberapa saat kemudian, tubuh saya terbakar,” katanya.

Saksi memberitahu media tempatan, serangan itu kelihatan rawak, dan Karn menjelaskan, beliau tidak mengenali kanak-kanak yang didakwa melakukan perbuatan itu.

Polis memaklumkan pada 22 Januari bahawa ketiga-tiga suspek dikenal pasti, tetapi nama mereka tidak akan didedahkan di bawah undang-undang perlindungan kanak-kanak.

Pihak berkuasa dijangka mendakwa mereka, termasuk atas cubaan membunuh.

Pihak penyiasat turut berkata, satu paip air berhampiran rosak akibat kebakaran itu, menambah kemungkinan pertuduhan kerosakan harta.

Rakaman video kejadian, yang tersebar luas di media sosial, mencetuskan reaksi awam yang keras.

Ramai pengguna dalam talian menuntut kanak-kanak itu didakwa sebagai orang dewasa selain ibu bapa atau penjaga mereka turut diambil tindakan undang-undang kerana cuai.

Kejadian itu berlaku susulan beberapa kes keganasan baru-baru ini yang membabitkan remaja dan menggemparkan Thailand.

Pada Ogos 2025, tiga remaja di utara Thailand ditahan selepas seekor anjing yang cacat dibakar hingga mati di dalam tandas sebuah kuil terbengkalai, sekali gus menimbulkan bantahan daripada kumpulan kebajikan haiwan.

Dalam bulan yang sama, seorang penganggur lelaki cuba membakar sepasang pelancong dari Malaysia ketika mereka duduk di luar pusat beli-belah utama di Bangkok, satu serangan yang mendapat liputan antarabangsa.

Kerajaan kemudian berkata, ia akan menanggung kos perubatan pasangan itu serta memberi pampasan.

Bagi ramai rakyat Thailand, kes terbaru ini menjadi simbol betapa teruk keruntuhan moral dan akhlak dalam kalangan kanak-kanak serta remaja.

Rata-rata berpendapat, ini hanya akan bertambah buruk jika tiada pengajaran atau hukuman yang setimpal dengan perbuatan mereka dikenakan. – AGENSI

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *