Oleh: Editorial ND
KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan menegaskan, tindakan keluar atau masuk sesebuah kerjasama politik, bukan jawapan mutlak untuk memulihkan kekuatan parti, sebaliknya hanya bersifat sementara dan berisiko memesongkan fokus perjuangan sebenar parti.
Berucap ketika merasmikan Mesyuarat Serentak Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini semalam, beliau berkata, UMNO perlu sedar, pemulihan parti tidak boleh bergantung kepada perubahan pakatan semata-mata, sebaliknya memerlukan pembinaan semula yang berpaksikan nilai, prinsip dan hala tuju jangka panjang.
“Keluar masuk kerjasama politik bukan jalan keluar yang menyembuhkan penyakit kita. Ia hanya satu peralihan jangka pendek yang boleh memesongkan fokus daripada masalah sebenar yang perlu kita rawat,” katanya.
Mohamad turut mengingatkan, kestabilan dan keamanan yang dikecapi Malaysia hari ini bukan sesuatu yang boleh dianggap kekal dan terjamin, malah boleh hilang dalam sekelip mata jika kegagalan politik dan perpecahan terus dibiarkan.
“Saya bukan mahu menakut-nakutkan, tetapi mahu mengingatkan betapa rapuhnya nikmat keamanan. Segala kebanggaan kita hari ini, ketiadaan perang dan keganasan, boleh hilang sebelum kita sedar,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh ahli UMNO agar kembali berpegang kepada nilai-nilai asas yang melahirkan parti tersebut, sambil menegaskan UMNO tidak pernah ditubuhkan sebagai parti yang hanya pandai menjatuhkan kerajaan atau mencetuskan ketidakstabilan.
“UMNO dibina untuk memerintah dengan akal, menstabilkan dengan strategi dan membina negara dengan penuh tanggungjawab,” katanya.
Mohamad menekankan kepentingan membezakan antara perjuangan dan pemusnahan, strategi dan emosi, serta keberanian dan kenaifan dalam menentukan tindakan politik parti.
Dalam konteks Kerajaan Perpaduan, beliau menyeru ahli-ahli UMNO supaya mendukung peranan parti dengan pendekatan yang membina, melalui idea bernas dan teguran yang munasabah, bukan serangan emosi yang berlebihan.
“Teguran yang baik dan berhemah, insya-Allah akan kami terjemahkan menjadi natijah yang baik untuk bangsa Melayu dan negara Malaysia,” katanya.
Mengulas hala tuju UMNO menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), Mohamad menegaskan, parti itu perlu tampil dengan tawaran baharu yang lebih segar dan berfalsafah, berasaskan konsep kekuatan keindukan Melayu sebagai pengayom dan tiang seri negara.
“Kita mahu membina Melayu yang kuat, bukan untuk menjadi ‘tuan’ yang sombong, tetapi untuk menjadi Induk, yang melahirkan, mengasuh, melindungi dan mengayomi,” katanya.
Menurut beliau, apabila Melayu UMNO kuat dan bijaksana, ia akan berfungsi sebagai ‘pengayom besar’ kepada seluruh rakyat Malaysia, ibarat sebuah rumah besar menempatkan pelbagai kaum dengan UMNO sebagai tiang seri yang menyokong kestabilannya.
“Sejarah telah membuktikan, hanya apabila Melayu menjadi tiang seri yang teguh, barulah rumah Malaysia ini selamat. Bila tiang seri kuat, atap tidak bocor dan dinding tidak retak,” katanya.
Dalam masa sama, Mohamad mengingatkan ahli UMNO agar bersikap rasional dan beradab dalam usaha memperluaskan pengaruh politik Melayu, serta tidak terikut-ikut dengan kecaman melampau, tohmahan dan fitnah yang boleh merosakkan imej parti.
“Jangan kerana orang lain, kita hilang adab. Cara yang keterlaluan hanya akan menghilangkan nilai sebenar teguran dan menenggelamkan fokus utama dalam badai emosi,” katanya.
Beliau menegaskan, UMNO perlu membuktikan kepada rakyat hanya kepimpinan Melayu yang bijaksana mampu memastikan keselamatan dan keharmonian Malaysia untuk semua kaum.
Dalam ucapan yang tegas, Mohamad turut menggariskan tiga ‘garis merah’ yang tidak boleh dikompromi oleh UMNO dalam apa jua bentuk kerjasama politik, sama ada dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini atau pakatan masa hadapan.
Pertama, katanya, hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera bukan isu perkauman, sebaliknya asas Perlembagaan dan kontrak sosial negara.
“UMNO tidak akan menjadi apologetik dalam mempertahankan hak bangsa. Kita boleh berkongsi kuasa, tetapi kita tidak akan berkongsi atau menggadaikan maruah,” katanya.
Kedua, beliau menegaskan kesucian agama Islam sebagai agama Persekutuan tidak boleh dicabar atau dipersendakan atas nama pluralisme melampau, hak asasi atau kebebasan bersuara.
“UMNO akan menjadi benteng paling hadapan menentang sebarang dakyah yang cuba merungkaikan kedudukan Islam di negara ini,” katanya.
Ketiga, Mohamad menegaskan kedaulatan Raja-Raja Melayu adalah payung negara yang tidak boleh dipermainkan atau direndahkan martabatnya.
“UMNO lahir dari istana dan rakyat. Kesetiaan kami kepada Raja-Raja Melayu tidak berbelah bahagi,” katanya.
Sehubungan itu, beliau memberi peringatan keras kepada rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan agar tidak menganggap UMNO akan berdiam diri sekiranya asas negara dicabar.
“Jangan sangka kerana kita duduk dalam satu kabinet, UMNO sudah tumpul taringnya. Kita akan bangun, kita akan bersuara dan kita akan menentang sesiapa sahaja, kawan atau lawan, yang cuba merobek agama, bangsa dan raja,” katanya.
Mohamad menegaskan, prinsip ‘garis merah’ tersebut bukan retorik kosong, sebaliknya pendirian kekal UMNO yang tidak akan berubah walau apa pun bentuk gabungan politik pada masa hadapan.
“Politik boleh berubah, gabungan boleh bertukar, tetapi prinsip ini akan kekal hidup dan mati bersama UMNO,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
