Oleh: Editorial ND
KUALA LUMPUR – UMNO menyertai Kerajaan Perpaduan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bukan kerana tamakkan kuasa, sebaliknya demi memastikan kestabilan negara ketika Malaysia berdepan situasi politik tergantung dan ancaman terhadap ekonomi rakyat.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hassan menegaskan perkara itu ketika berucap merasmikan Mesyuarat Serentak Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, semalam.
Menurut beliau, keputusan UMNO untuk berada dalam kerajaan sering dipersoalkan, malah ada pihak yang menyindir kononnya parti itu “tebal muka” dan sanggup duduk semeja dengan bekas seteru politik demi mengekalkan kuasa.
“Ramai yang bertanya, malah secara sinis, kenapa UMNO masih dalam kerajaan? Kenapa duduk dengan seteru lama? Adakah UMNO sudah gila kuasa?” katanya.
Bagaimanapun, Mohamad menegaskan, hakikat sebenar perlu difahami ialah UMNO pada asalnya telah bersedia untuk menjadi pembangkang selepas keputusan PRU15 yang menyaksikan parti itu menerima hukuman daripada rakyat.
“Kita terima keputusan rakyat dengan hati terbuka. Pasca-PRU15, UMNO sebenarnya mahu berehat, membina semula kekuatan dari bawah dan bersedia menjalankan peranan sebagai pembangkang.
“Namun, keadaan negara ketika itu berada dalam situasi kritikal apabila Parlimen tergantung, ketidaktentuan politik semakin memuncak dan risiko terhadap kestabilan ekonomi mula dirasai rakyat.
“Takdir Allah dan tuntutan negara mengatasi kehendak parti. Ketika negara berada di ambang ketidaktentuan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (ketika itu) memanggil kita. Negara sedang tergantung, politik di ambang huru-hara dan ekonomi rakyat mula terancam,” katanya.
Mohamad berkata, walaupun UMNO memiliki jumlah kerusi Parlimen yang kecil, parti itu tetap diminta oleh Yang di-Pertuan Agong untuk membantu membentuk kerajaan demi menyelamatkan negara daripada krisis yang lebih besar.
“Pada saat genting itulah Tuanku bertitah meminta UMNO membantu menubuhkan kerajaan. Kita masuk kabinet bukan untuk kemegahan, tetapi untuk membina kestabilan. UMNO adalah ‘sauh’ yang memastikan kapal negara tidak karam,” katanya.
Beliau menegaskan, peranan UMNO dalam kerajaan adalah sebagai kuasa pengimbang dan parti sederhana yang bertanggungjawab, khususnya dalam memastikan pentadbiran negara berjalan dengan teratur dan kepentingan rakyat terus terbela.
“Menguruskan negara ini bukan soal emosi atau dendam politik. Ia mengenai membaca dan memahami keperluan Malaysia, serta menterjemahkannya dengan cara paling cermat supaya generasi hari ini mendapat manfaat dan generasi masa depan tidak kehilangan tempat,” katanya.
Mohamad turut mengingatkan ahli dan penyokong parti agar tidak terperangkap dengan sentimen kemarahan semata-mata dalam menentukan hala tuju UMNO.
“Marah mesti bersulam strategi. Berani mesti bersulam tanggungjawab. Adakah kita mahu keluar kerajaan dan biarkan negara huru-hara? Itu bukan jalan negarawan, itu jalan mereka yang tunduk kepada emosi,” katanya.
Beliau berkata, sejarah dunia moden membuktikan kejatuhan kerajaan tanpa perancangan dan kebijaksanaan hanya akan melahirkan kekosongan kuasa atau power vacuum yang akhirnya memudaratkan rakyat.
“Apabila perbezaan politik dibiarkan membarah tanpa kebijaksanaan, institusi negara lumpuh. Parlimen menjadi medan tempur, kerajaan bertukar tanpa hala tuju, ekonomi terjunam dan pelabur melarikan diri,” katanya.
Tambah beliau, dalam situasi sedemikian, rakyat biasa akan menanggung derita paling besar apabila peluang pekerjaan berkurang, kos sara hidup meningkat dan jaminan masa depan semakin kabur.
Mohamad turut memberi amaran, kekacauan politik berpanjangan boleh membuka ruang kepada kebangkitan kumpulan ekstrem dan campur tangan asing yang menggugat kedaulatan negara.
“Apabila politik menjadi medan dendam dan kepimpinan berpecah, pihak ekstrem akan muncul dan campur tangan asing mula mengintai. Inilah akibat apabila kemarahan mengatasi kebijaksanaan dan kuasa dijatuhkan tanpa tanggungjawab untuk membina semula,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan, UMNO akan terus memainkan peranan sebagai parti yang matang dan bertanggungjawab demi menjamin kestabilan politik, keselamatan ekonomi dan masa depan negara.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
