KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) kini berada diambang perpecahan susulan konflik dalaman yang semakin meruncing antara Pas dan Bersatu, sekali gus menjejaskan hala tuju gabungan politik itu serta inisiatif ekonomi melibatkan empat negeri di bawah pentadbiran mereka, dikenali sebagai SG4.
Setiausaha Agung Parti Amanah, Muhammad Faiz Fadzil berkata, kemelut terbaru berkaitan isu pelantikan Menteri Besar Perlis bukan sahaja mencerminkan rapuhnya hubungan antara dua parti teras PN, malah membawa kepada peletakan jawatan Pengerusinya, satu perkembangan yang amat serius terhadap kestabilan gabungan tersebut.
“PN kini ibarat hilang pemandu. Pergaduhan Pas-Bersatu yang terbuka ini menunjukkan ketiadaan kepimpinan yang jelas dan akhirnya memberi kesan langsung kepada masa depan SG4. Gabungan negeri Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu itu sedang menuju jalan mati,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, ketidakstabilan politik yang melanda PN secara langsung menimbulkan persoalan besar terhadap kelangsungan dan keberkesanan agenda SG4 yang diumumkan dengan penuh gembar-gembur pada tahun 2023 sebagai platform kerjasama ekonomi antara empat negeri berkenaan.
Faiz mendakwa sehingga kini, selepas hampir tiga tahun pelaksanaannya, SG4 gagal membuktikan hasil yang nyata kepada rakyat.
“Sejak ia dilancarkan, tidak ada satu pun pelaburan baharu berskala besar yang boleh dibanggakan sebagai kejayaan SG4. Ini menimbulkan persoalan sama ada inisiatif tersebut benar-benar digerakkan atau sekadar slogan politik,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencabar PAS agar membentangkan secara terbuka ‘report card’ atau laporan prestasi SG4 untuk dinilai rakyat, khususnya dari sudut pentadbiran, pengurusan ekonomi dan keupayaan menarik pelaburan.
“Rakyat berhak menilai keupayaan sebenar mereka. Pentadbiran negeri tidak boleh terus bergantung kepada permainan sentimen kaum dan agama semata-mata tanpa pencapaian ekonomi yang jelas,” tegasnya.
Dalam pada itu, Faiz berkata rakyat di negeri-negeri SG4 masih bernasib baik kerana agensi-agensi Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terus membawa masuk pelaburan tanpa mengira perbezaan politik.
Beliau mengambil contoh Kedah, di mana majoriti pelaburan asing dan domestik tertumpu di Kulim Hi-Tech Park yang menurutnya dipacu oleh peranan aktif agensi Persekutuan seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
“Ini membuktikan Kerajaan Madani tidak mendiskriminasi negeri pembangkang. Pelaburan diteruskan demi kepentingan rakyat, bukan kepentingan politik,” katanya.
Faiz turut mengingatkan bahawa penasihat SG4 sendiri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pernah mengakui perkembangan syarikat SG4 Group Sdn Bhd adalah perlahan, sekali gus mengukuhkan dakwaan bahawa projek berkenaan tidak mencapai sasaran seperti yang dijanjikan.
Beliau seterusnya membandingkan pendekatan PN dengan Kerajaan Perpaduan, dengan menyatakan bahawa ketika PAS dan BERSATU terus bergelut dengan percaturan politik, Kerajaan Madani memilih untuk menumpukan usaha kepada agenda sosioekonomi rakyat.
Katanya, perkara itu jelas tergambar dalam Perutusan Tahun Baharu Perdana Menteri yang antara lain mengumumkan pelbagai langkah konkrit untuk memperkukuh kuasa beli rakyat.
“Sebanyak RM15 bilion disuntik melalui program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA). Pada masa sama, fasa kedua pelarasan gaji penjawat awam bernilai RM8 bilion akan meningkatkan kemampuan berbelanja dan kualiti hidup rakyat,” katanya.
Menurut Faiz, pembangunan Islam juga terus diberi keutamaan oleh Kerajaan Madani menerusi peruntukan RM200 juta kepada sekolah agama rakyat dan maahad tahfiz, sekali gus menafikan dakwaan bahawa kerajaan meminggirkan agenda Islam.
Dalam sektor perniagaan, beliau berkata kerajaan turut mengambil kira keluhan usahawan apabila kadar cukai perkhidmatan ke atas sewaan bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dipotong, walaupun langkah itu mengurangkan hasil kerajaan sekitar RM500 juta setahun.
“Sektor pertanian juga tidak dipinggirkan. Pengecualian cukai jualan ke atas makanan ternakan, baja dan racun serangga akan membantu mengekalkan kos pengeluaran dan menstabilkan harga makanan,” katanya.
Faiz turut menyifatkan komitmen kerajaan terhadap reformasi institusi sebagai satu lagi elemen penting yang membezakan Kerajaan Madani daripada pentadbiran terdahulu.
Ini termasuk janji untuk memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal atau 10 tahun, serta penubuhan institusi Ombudsman bagi memperkukuh tadbir urus dan akauntabiliti.
“Semua ini menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk membina sistem yang lebih telus dan berintegriti,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat agar menilai prestasi Kerajaan Madani secara adil dan berdasarkan fakta.
“Kerajaan Madani adalah kerajaan yang bekerja. Sepanjang tiga tahun pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebanyak 773 inisiatif telah dilaksanakan, disokong oleh kestabilan politik gabungan Kerajaan Perpaduan. Inilah asas sebenar kepada pembangunan negara yang mampan,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
